Piala Malaysia: TFC pasukan keempat mara suku akhir

Pemain PKNS FC, Mohamad Qayyum Marjoni Sanil (depan, kiri) mengasak pemain Terengganu FC, Muhammad Mohd Faudzi (depan, kanan) dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi. Keputusan separuh masa pertama PKNS FC 0-2 Terengganu FC. - Foto Bernama
A
A

TERENGGANU FC (TFC) menjadi pasukan keempat menempah slot suku akhir Piala Malaysia selepas berakhirnya perlawanan malam tadi.

Kemenangan 2-0 yang diraih skuad Penyu ke atas PKNS FC dalam saingan Kumpulan A di Stadium Shah Alam menyaksikan mereka layak selaku naib juara di belakang Kedah dengan kutipan 12 mata selepas enam perlawanan.

Pada aksi di Shah Alam, pemain antarabangsa Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov membuka tirai jaringan untuk TFC seawal minit ketiga menerusi rembatan kencang di dalam kotak penalti, hasil hantaran Mohamad Ashari Samsudin.

Selang enam minit permainan, TFC menggandakan kedudukan menerusi rembatan kencang Tchetche Kipre, sekali gus mengesahkan tiket suku akhir untuk wakil Pantai Timur itu.

Dalam pada itu, juara lima kali, Kedah mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan A dengan kutipan 13 mata selepas menang bergaya 4-2 ke atas juara tiga kali, Negeri Sembilan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Pada aksi berkenaan, Muhammad Farhan Roslan meletakkan skuad Lang Merah di hadapan pada minit ke-17, sebelum Negeri Sembilan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-34 menerusi Igor Carneiro Luiz yang mudah menolak bola hasil hantaran rakan sepasukan.

Kedah kembali berada di hadapan pada minit ke-44 menerusi Fernando Rodriguez yang mudah menolak masuk bola hasil hantaran Jonatan Bauman, namun Negeri Sembilan kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-65 menerusi Muhammad Ferris Danial Mat Nasir.

Skuad Lang Merah, bagaimanapun, berjaya menambah dua lagi gol, masing-masing menerusi Mohammad Fayadh Danel Mohd Nizam pada minit ke-77 dan sepakan penalti Edgar Bernhardt pada minit ke-90.

Sementara itu, juara 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kedudukan mereka selaku juara Kumpulan B setelah melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan tercorot, UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

Pemain UiTM FC, Zulkiffli Zakaria meletakkan skuad ‘The Lion Troops’ di hadapan pada minit ke-39, setelah memanfaatkan kelalaian benteng pertahanan JDT.

Skuad Harimau Selatan, bagaimanapun, kembali bangkit dan meraih dua gol, masing-masing menerusi tandukan pemain kebangsaan, Adam Nor Azlin pada masa kecederaan babak kedua perlawanan dan Mohamad Fadhli Mohd Shas pada minit ke-59.