Rumah terbakar selepas dengar bunyi dentuman kuat

Mohd Azmil (kiri) bersama pegawainya menziarahi Tilagavati (tiga dari kanan) selepas rumah terbabit terbakar kelmarin.
Mohd Azmil (kiri) bersama pegawainya menziarahi Tilagavati (tiga dari kanan) selepas rumah terbabit terbakar kelmarin.
A
A
A

TANJONG KARANG - Bunyi dentuman kuat mengejutkan suri rumah sebelum kediaman didiami bersama keluarga musnah dalam kebakaran di Taman Sri Tanjong di sini awal pagi kelmarin.

Kejadian jam 5 pagi itu berlaku ketika Tilagavati Tukimin, 39, bersama suaminya, Mohd Salleh Othman, 41, dan empat anak mereka berusia dua hingga 16 tahun sedang tidur di ruang tamu rumah terbabit.

Tilagavati berkata, dia yang memeriksa tingkat atas rumah ternampak kepulan api ketika ingin naik ke tingkat atas rumah yang disewanya sejak lapan tahun lalu.

"Waktu itu, saya terlihat api sedang marak membakar tingkat atas," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara Dewan Komuniti Taman Sri Tanjong di sini hari ini.

Menurut Tilagavati, dia kemudian menjerit nama suaminya sebelum berlari ke tandas untuk mengambil air bagi memadamkan kebakaran.

Katanya, kebakaran yang bermula dari rumahnya mengakibatkan lima lagi rumah yang berhampiran turut terbabit.

"Saya dan keluarga bersyukur tiada yang cedera dalam kebakaran ini," katanya.

Seorang lagi mangsa, Abd Rahim Bahari, 49, berkata, dia yang sedang tidur di ruang tamu rumahnya terjaga selepas dikejutkan dengan jeritan Tilagavati.

Artikel Berkaitan:

Menurut Abd Rahim, dia bergegas keluar dan mendapati api dari rumah Tilagavati merebak ke rumahnya.

"Tanpa berlengah, saya memanggil jiran berhampiran dengan perkataan 'api' bagi memaklumkan mereka sebelum memanggil isteri dan anak keluar dari rumah," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang Penolong Penguasa Bomba Azmi Abbas berkata, sepasukan 16 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 5.34 pagi.

Beliau berkata, kebakaran membabitkan enam rumah dan salah sebuah rumah musnah 100 peratus di tingkat atas manakala lima lagi rumah melibatkan siling dan bumbung.

"Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan semasa kebakaran berlaku dan operasi ditamatkan pada jam 8.23 pagi," katanya.

Sementara itu, Pusat Khidmat Peduli Rakyat (PKPR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong membantu semua mangsa deretan enam rumah dua tingkat berkenaan.

Penyelarasnya, Mohd Azmil Misman berkata, sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu, pihaknya mengarahkan petugas PKPR DUN bergegas ke lokasi bagi membantu semua mangsa terlibat.

Menurutnya, antara langkah awal dilakukan dengan menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan asas seperti beras, minyak dan gula.

"Kebakaran membabitkan enam keluarga dengan jumlah keseluruhan seramai 31 mangsa dan saya bersyukur kerana tiada berlakunya kemalangan jiwa," katanya.

Mohd Azmil berkata, selain itu, pihaknya turut menyediakan makanan tengah hari pada hari pertama kejadian kepada mangsa terbabit sebelum memaklumkan kejadian itu kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor.

"Pegawai daerah kemudiannya meminta bantuan daripada jabatan berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakatnya (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang tiba jam 4 petang hari kejadian," katanya.

Katanya, pihaknya turut mengumpulkan maklumat terperinci mangsa terlibat dan mereka sehingga kini masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Komuniti Taman Sri Tanjung.

"Malah, kami memantau keadaan mereka dari masa ke semasa, selain mengadakan gotong royong bersama APM, bomba, skuad MDKS, Kemas Tanjong Karang dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Ahli Majlis MDKS Zon 1 A," katanya.

Menurutnya, semua mangsa terbabit dijangka berada di pusat pemindahan itu sekurang-kurangnya dua minggu bagi memastikan semua pendawaian elektrik berfungsi dengan baik dan rumah selamat diduduki.

"Kita merayu mana-mana individu, badan bukan kerajaan dan syarikat korporat yang ingin menyumbang boleh berhubung dengan JKM di pusat pemindahan sementara ini," katanya.

CAPTION

Mohd Azmil (kiri) bersama pegawainya menziarahi Tilagavati (tiga dari kanan) selepas rumah terbabit terbakar kelmarin.