Jerebu: Sri Aman Sarawak catat IPU 367

Pemandangan patung kucing di Jalan Tuanku Abdul Rahman di bandaraya Kuching yang berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 245 iaitu 'sangat tidak sihat' pada pukul 11 pagi semalam. -Foto Bernama
Pemandangan patung kucing di Jalan Tuanku Abdul Rahman di bandaraya Kuching yang berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 245 iaitu 'sangat tidak sihat' pada pukul 11 pagi semalam. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kawasan Sri Aman, Sarawak mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap berbahaya apabila mencapai bacaan 367 pagi ini.

Laman Web Rasmi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar menunjukkan skala bacaan IPU pada jam 9 pagi tadi berada pada skala berbahaya.

Kawasan Kuching kekal berada pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 220.

Lain-lain kawasan berada pada tahap tidak sihat iaitu Samarahan (159), Sarikei (149), Sibu (168), Bintulu (129), Mukah (141) dan Samalaju (113).

Bagi kawasan Johan Setia, Klang di Selangor turut mencatatkan skala bacaan sangat tidak sihat iaitu pada 233 pada jam yang sama.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri dalam satu kenyataan memberitahu sejumlah 298 sekolah dengan 97 daripadanya berada di Sri Aman, ditutup hari ini, selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) merekodkan bacaan melebihi 200.

Sekolah di Sri Aman paling teruk terjejas hari ini selepas kawasan itu mencatatkan bacaan berbahaya, 365, jam 8 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Kata kenyataan itu, penutupan berkenaan merangkumi 53 sekolah menengah dan 245 sekolah rendah.

“Sekolah ditutup membabitkan 85 di Kuching; 51 di Betong; 46 di Padawan; 44 di Bau; 41 di Sri Aman; 22 di Lundu; lima di Lubok Antu dan tiga di Samarahan.

“Keseluruhannya, seramai 128,291 murid dan pelajar terjejas akibat penutupan ini,” katanya dalam kenyataan, di Kuching, hari ini.

Kata kenyataan itu, sebarang perubahan dan maklumat terkini akan dimaklumkan dari masa ke masa.

“Pihak sekolah diigatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa,” katanya.