Kenaikan tarif air jangan bebankan rakyat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KENAIKAN tarif air di seluruh negara dijangka berkuatkuasa mulai tahun hadapan apabila kadar baharunya diumumkan hujung tahun ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar yang mengumumkan perkara itu minggu lalu bagaimanapun berjanji, perkara itu akan dibawa kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu untuk dibincangkan.

Bagaimanapun, setiap negeri menunjukkan reaksi yang berbeza mengenai cadangan kenaikan tarif air tersebut. Bagi sesetengah kerajaan negeri, ada yang bersetuju dengan keputusan menaikkan kadar sedia ada memandangkan peningkatan kos operasi.

Namun tidak kurang juga ada kerajaan negeri yang membantah cadangan itu kerana ia akan menambahkan lagi bebanan kos sara hidup rakyat.

Biarpun Xavier telah memberikan jaminan kerajaan akan memastikan kenaikan itu kelak tidak akan menimbulkan rungutan kepada rakyat tetapi sebarang kenaikan, sama ada sedikit atau banyak, tetap membawa tanggungan tambahan kepada rakyat terutama sekali golongan bawahan.

Memang tidak dinafikan, kerajaan memerlukan peruntukan yang besar untuk menjalankan operasi pembekalan air bersih ke segenap pelosok negara. Meningkatkan kadar tarif air barangkali adalah jalan penyelesaian terakhir untuk kerajaan menghadapi kos yang semakin hari semakin banyak.

Salah satu usaha yang dilakukan kerajaan ialah melaksanakan program menurunkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW).

Perangkaan menunjukkan purata kehilangan NRW di seluruh negara berada pada paras 35 peratus. Daripada jumlah itu, Perlis mencatatkan tahap paling tinggi iaitu 76 peratus dan diikuti Kelantan sebanyak 67 peratus.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya kerajaan dapat memperbaiki masalah NRW itu, ia pastinya akan menyekat pembaziran sumber dan pada masa yang sama, mampu mengurangkan kos dan meningkatkan keberkesanan operasi syarikat air di setiap negeri.

Ketika kerajaan merancang untuk menaikkan kadar tarif air, kerajaan juga perlu meningkatkan keupayaan untuk menguruskan bekalan air dengan lebih berkesan.

Selain itu, usaha untuk memperbaiki mutu perkhidmatan bagi mengelakkan gangguan air juga perlu diutamakan oleh setiap syarikat air yang ada di setiap negeri.