Prestasi sektor perikanan negara

A
A
A

SEJAK tahun 2010, Malaysia telah mencapai tahap lebihan bagi sara diri bekalan ikan, tetapi masih menghadapi masalah kenaikan harga.

Inilah cabaran yang perlu ditangani bukan sahaja memastikan kecukupan sumber tetapi jaminan kemampuan rakyat memperoleh protein dalam makanan.

Perairan Malaysia mengeluarkan sumber bekalan ikan sebanyak 1,482,899 t.m yang memberi nilai sebanyak RM8.336 bilion pada tahun 2013.

Manakala pada tahun 2014 pengeluaran telah menurun sebanyak 1.67% kepada 1,458,128 t.m, dengan nilai sejumlah RM8.785 bilion.

Berikutan ikan merupakan sumber protein bagi penduduk, maka ia harus diuruskan secara mapan agar bekalan mencukupi berterusan.

Eksploitasi berlebihan menyebabkan berlaku kepupusan bekalan ikan di Malaysia sekian lama.

Bekalan ikan di perairan semakin terjejas disebabkan oleh penggunaan pukat tunda sejak 1960-an yang akan menangkap ikan tanpa mengira kematangan ikan dan menyebabkan bekalan mengalami masalah yang serius.

Oleh yang demikian, kerajaan perlu terus menyokong dan memberi keutamaan kepada pengurusan sumber perikanan tangkapan marin negara kerana hampir 80% daripada pengeluaran ikan negara datang daripada perikanan tangkapan.

Artikel Berkaitan:

Antara usaha kerajaan untuk meningkatkan sektor perikanan ialah melalui pelaburan Projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) di Kuala Kedah.

Ia mampu melonjak potensi industri perikanan moden, khususnya di Kedah. Penggunaan teknologi tinggi yang akan diimport masuk dalam pembangunan KIFT yang dijangka membabitkan kos RM3 bilion akan turut menarik lebih banyak pelaburan dalam industri perikanan.

Projek ini akan menjadikan Kedah sebagai hab perikanan integrasi moden yang meningkatkan tahap pencapaian dalam sektor perikanan Malaysia.

Selain itu, kerajaan juga berusaha untuk mencari alternatif yang bernas bagi menggantikan bekalan sumber dari laut iaitu dalam bidang akuakultur.

Akuakultur sebagai salah satu sumber utama untuk meningkatkan pengeluaran ikan bagi memenuhi permintaan domestik dan mengembangkan potensi eksport.

Perusahaan akuakultur di negara ini telah menghasilkan pengeluaran berjumlah kira-kira 520,514 tan metrik dengan nilai kira-kira RM3.47 bilion pada 2014 dan telah menyumbang 26% kepada jumlah pengeluaran ikan negara.

Pembangunan akuakultur negara telah menunjukkan perkembangan pesat dengan kadar pertumbuhan purata sebanyak 8% setahun dalam tempoh 10 tahun yang lalu serta mampu memberi tumpuan untuk menggalak pembangunan akuakultur negara melalui program pembangunan di bawah RMK-10 dan tersenarai dalam kalangan Projek Utama di bawah (National Key Economic Area - NKEA) sehingga tahun 2020.

Malaysia mampu mengoptimumkan pembangunan akuakultur berdasarkan potensi sumber kawasan, kesesuaian iklim dan kedapatan teknologi pengeluaran dalam memenuhi peningkatan permintaan di pasaran domestik dan global.

Jabatan Perikanan berusaha menyediakan pelan tindakan bagi menggalakkan pembangunan akuakultur sehingga mampu menyumbang 50 peratus daripada jumlah pengeluaran ikan negara menjelang tahun 2020.

Sasaran baharu sebanyak 1.443 juta tan metrik telah dijadikan salah satu inisiatif utama di bawah Program Transformasi Agro Makanan bagi memastikan sub-sektor perikanan terus menyumbang kepada kecukupan bekalan makanan negara, meningkatkan pendapatan pengusaha dan menjadikan bidang agro makanan sebagai perniagaan yang berdaya saing dan mampan.

Sasaran pengeluaran akuakultur di bawah Dasar Agro Makanan Nasional (DAN) adalah sebanyak 794,000 tan metrik pada akhir tahun 2020.

Prestasi pengeluaran akuakultur negara sejak satu dekad telah meningkat pada kadar 8% setahun.

Pertumbuhan pengeluaran tahunan perlu ditingkatkan pada kadar 12.8% untuk mencapai sasaran asal DAN. Bagaimanapun kadar pertumbuhan tersebut perlu meningkat melebihi 20% untuk mencapai sasaran baharu sebanyak 1.443 juta tan metrik.

Secara keseluruhan, nilai sektor perikanan menyumbang sebanyak 1.1% kepada KDNK negara.

Kesimpulannya, kerajaan telah berusaha untuk meningkatkan prestasi dan pencapaian sektor perikanan di Malaysia.

Beberapa usaha telah dijalankan dalam sektor perikanan di perairan laut serta juga tertumpu kepada sektor akuakultur di Malaysia supaya sumber protein ikan dapat dikekalkan dan rakyat dapat menikmati sumber protein yang mencukupi.

* Penulis penuntut Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam), UMT