MYSA: Teknologi angkasa pelbagai manfaat, bukan sekadar satelit

Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ketua Pengarah Agensi Angkasa, Azlikamil Napiah,
Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ketua Pengarah Agensi Angkasa, Azlikamil Napiah,
A
A
A

APABILA disebut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), masih ramai yang membayangkan sebuah agensi yang hanya mengurus pelancaran satelit dan angkasawan. Paling lucu, ada yang membayangkan Koperasi Angkasa.

Persepsi ini sebenarnya tidak tepat. Hakikatnya, MYSA merupakan antara agensi strategik negara yang membangunkan teknologi angkasa bagi menyelesaikan pelbagai isu di bumi, daripada pertanian, pengurusan bencana, pembangunan bandar hinggalah kepada keselamatan sempadan negara.

Kunjungan hormat saya sebagai Ahli Parlimen Padang Besar ke MYSA baru-baru ini membuka ruang untuk memahami peranan sebenar agensi ini. Apa yang ditemui bukan sekadar teknologi canggih, tetapi sebuah ekosistem data dan analisis yang mampu membantu kerajaan membuat keputusan dengan lebih cepat, tepat dan berasaskan bukti.

Turut hadir Ir Dr Irfan And Rahim, Pensyarah Unimap merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Al-Jazari Centre of Excellence yang memiliki latar belakang akademik dalam Kejuruteraan Aeroangkasa.

Teknologi angkasa yang dibangunkan MYSA bukan bertujuan “memantau dari langit” sebagaimana sering disalahfahami. Sebaliknya, kekuatan utama MYSA ialah penggunaan teknologi penderiaan jauh (remote sensing), Sistem Maklumat Geografi (GIS), kecerdasan buatan (AI) dan analisis data satelit bagi memantau perubahan muka bumi serta menyokong perancangan pembangunan negara. MYSA juga mengendalikan Pusat Data Remote Sensing Negara, pusat penerimaan data satelit serta pelbagai fasiliti operasi teknologi angkasa negara.

Data satelit membolehkan kerajaan memantau perubahan guna tanah, kawasan pertanian, kawasan tadahan air, hakisan pantai, tanah runtuh, banjir, pencemaran, pembangunan bandar dan pelbagai fenomena lain tanpa perlu menghantar pasukan ke lapangan setiap masa. Ini menjimatkan kos, mempercepatkan tindakan dan meningkatkan ketepatan maklumat.

Lebih menarik, MYSA bukan hanya menghasilkan imej satelit, tetapi membangunkan sistem aplikasi khusus mengikut keperluan agensi pengguna. Kini lebih 100 agensi kerajaan Persekutuan dan negeri menggunakan kepakaran MYSA dalam pelbagai bidang.

Sebagai contoh, MYSA telah membangunkan sistem bagi membantu pihak berkuasa tempatan mengurus pembangunan bandar, mengenal pasti perubahan guna tanah, mengawal pembangunan haram, meningkatkan kecekapan penyelenggaraan infrastruktur, pengurusan sisa pepejal, pelesenan perniagaan dan penguatkuasaan.

Begitu juga dalam sektor utiliti, MYSA membantu pemantauan kawasan tadahan empangan bagi memastikan keselamatan sumber air serta mengurangkan kos operasi melalui penggunaan data satelit optikal dan radar.

Artikel Berkaitan:

Semua ini membuktikan bahawa teknologi angkasa bukan lagi sesuatu yang jauh daripada kehidupan rakyat. Sebaliknya, ia menjadi alat penting dalam tadbir urus moden.

Bagi negeri Perlis pula, potensi penggunaan teknologi MYSA jauh lebih besar kerana kedudukannya sebagai negeri sempadan. Perlis bukan sahaja mempunyai pintu masuk utama negara di Padang Besar dan Wang Kelian, malah menjadi laluan perdagangan, pelancongan serta pergerakan manusia yang memerlukan pemantauan berterusan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, isu penyeludupan, pencerobohan sempadan, pembukaan laluan haram, pencerobohan tanah, pembalakan dan perubahan guna tanah menjadi cabaran yang memerlukan pendekatan lebih pintar daripada rondaan konvensional semata-mata.

Kunjungan hormat Ahli Parlimen Padang Besar ke MYSA baru-baru ini membuka ruang untuk memahami peranan sebenar agensi terbabit.
Kunjungan hormat Ahli Parlimen Padang Besar ke MYSA baru-baru ini membuka ruang untuk memahami peranan sebenar agensi terbabit.

Di sinilah teknologi MYSA boleh memainkan peranan strategik

Imej satelit yang diperoleh secara berkala boleh mengesan perubahan litupan bumi, pembukaan laluan baharu atau aktiviti yang mencurigakan sebelum tindakan penguatkuasaan dilakukan. Data tersebut boleh disepadukan dengan maklumat daripada dron, kamera pintar, sensor darat dan sistem kecerdasan buatan untuk menghasilkan amaran awal kepada agensi keselamatan.

Pendekatan inilah yang selari dengan cadangan Autobahn Drone yang pernah diketengahkan sebagai model pemantauan sempadan masa hadapan yang diusahakan oleh anak jati Perlis, Prof. Ir. Ts. Dr. Hazry Desa melalui Sandbox Drone beliau.

Autobahn Drone bukan sekadar cadangan memperbanyakkan penggunaan dron, tetapi membina satu koridor udara pintar yang menghubungkan dron autonomi, satelit, sensor IoT, AI dan pusat kawalan bersepadu. Dalam konsep ini, satelit menyediakan gambaran menyeluruh berskala besar, manakala dron memberikan pengesahan visual secara masa nyata terhadap sesuatu kejadian.

Gabungan kedua-dua teknologi akan membolehkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan berkongsi maklumat daripada satu platform yang sama.

MYSA sendiri telah membuktikan model ini melalui pembangunan Sistem Pemantauan Penguatkuasaan Bersepadu Negeri Pahang (e-UNIFIED) yang menggunakan imej satelit, data GIS dan pengesahan dron untuk mengesan pencerobohan tanah kerajaan secara lebih cepat dan menyeluruh. Sistem tersebut bukan sahaja menjimatkan kos pembangunan, malah meningkatkan liputan pemantauan sehingga ke kawasan sempadan negeri.

Model yang sama boleh disesuaikan untuk Perlis

Bayangkan sekiranya satu “Perlis Border Intelligence Platform” diwujudkan dengan MYSA sebagai penyedia data satelit nasional, manakala semua agensi keselamatan menyumbang maklumat lapangan secara masa nyata. Sebarang perubahan di kawasan sempadan dapat dikesan lebih awal sebelum menjadi ancaman keselamatan negara.

Kunjungan hormat Ahli Parlimen Padang Besar ke MYSA baru-baru ini
Kunjungan hormat Ahli Parlimen Padang Besar ke MYSA baru-baru ini

Pada masa yang sama, platform ini boleh membantu sektor pertanian, pengurusan sumber air, mitigasi banjir, pelancongan geopark, pemantauan hutan, pembangunan bandar dan pengurusan tanah. Ertinya, satu pelaburan teknologi memberi manfaat kepada pelbagai sektor secara serentak.

Kejayaan transformasi digital sesebuah negeri tidak lagi bergantung kepada jumlah komputer atau capaian internet semata-mata, tetapi kepada sejauh mana data dapat diterjemahkan menjadi keputusan yang pantas dan tepat. MYSA menyediakan asas kepada transformasi tersebut melalui data geospatial dan teknologi angkasa.

Malaysia kini sedang melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Dasar Angkasa Negara 2030, termasuk pembangunan sistem aplikasi baharu, produk AI, satelit penderiaan jauh serta pengukuhan industri angkasa tempatan. Perlis tidak seharusnya menjadi sekadar pengguna teknologi, malah boleh muncul sebagai negeri perintis yang memanfaatkan teknologi angkasa untuk keselamatan sempadan dan pembangunan pintar.

Masa depan keselamatan negara bukan lagi bergantung kepada pagar yang lebih tinggi atau rondaan yang lebih kerap semata-mata. Masa depan itu terletak pada kemampuan menggabungkan satelit, dron, kecerdasan buatan dan analitik data dalam satu ekosistem yang saling melengkapi.

MYSA telah menyediakan asas teknologinya. Kini tiba masanya agensi-agensi di Perlis membina sinergi yang lebih kukuh bagi memastikan teknologi angkasa benar-benar menjadi aset strategik kepada keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Tahniah Datuk Gs. Azlikamil Napiah, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan semua pegawai atas usaha menambahbaik peranan MYSA untuk kesejahteraan ummah. Semoga terus berbakti.

*** Penulis adalah Ahli Parlimen Padang Besar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!