Bekalan ikan kering kurang selepas hari raya

Jamilah menunjukkan pelbagai jenis ikan yang sedia untuk dijual.
Jamilah menunjukkan pelbagai jenis ikan yang sedia untuk dijual.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang pengusaha ikan kering di Kampung Air Terjun Pasir Puteh di sini mengakui bekalan ikan berkurangan ketika ini berkemungkinan musim panas.

Jamilah Saud, 59, berkata, selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, tidak sampai 10 jenis ikan yang dijual berbanding sebelum ini iaitu kira-kira 20 jenis ikan.

Menurut Jamilah, ada nelayan pantai yang menghantar ikan mereka ke rumahnya untuk dijual dan diproses kering.

"Sebelum musim panas terik, sebanyak 300 kilogram bekalan ikan diambil setiap tiga hingga empat hari di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Selain cuaca panas, mungkin ramai nelayan yang masih bercuti kerana sambutan hari raya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Ahad.

Ikan talam yang dijemur untuk dijadikan ikan kering.
Ikan talam yang dijemur untuk dijadikan ikan kering.

Jamilah yang mengusahakan ikan kering bersama dua lagi adiknya, Jamil Saud, 54, dan Syarifah Saud, 50, berkata, ikan kering yang dijual mereka laris sepanjang Ramadan.

Menurut Jamilah, antara ikan diproses untuk dijadikan ikan kering ialah selar, gelama, kerisi dan tamban dan harga ikan bermula RM20 sekilogram bergantung kepada jenisnya.

Ikan lain yang turut diproses kering ialah talam dan layur.

Bagaimanapun katanya, harga ikan gelama lebih mahal dan boleh mencapai sehingga RM80 sekilogram bergantung kepada saiznya dan memang mendapat permintaan tinggi daripada penggemarnya

"Selain dijual kepada penduduk dan orang ramai yang melalui kawasan kampung berkenaan, ada juga peraih pasar minggu yang mengambil ikan kering kami," katanya.

Ibu kepada dua anak berusia 22 dan 23 tahun itu memberitahu, panas berpanjangan menyebabkan ikan yang dijemur tidak mengambil masa lama untuk kering.

Katanya, mereka biasanya boleh mengangkat ikan dalam tempoh enam atau tujuh jam sahaja kerana mudah kering.

"Bagaimanapun, kami perlu berwaspada dengan cuaca panas yang mungkin boleh mengakibatkan demam dan batuk," katanya.

Jamilah juga memberitahu, ikan kering turut laris pada musim cuti persekolahan berikutan ramai yang mengadakan majlis kenduri.

"Di Kelantan, ikan kering goreng menjadi antara menu utama ketika kenduri selain lauk lain seperti gulai kawah," katanya.