Jalan raya berdarah: Krisis ekologi sosial yang semakin diabaikan

SETIAP kali seekor gajah, tapir, harimau atau hidupan liar lain mati dilanggar kenderaan, perhatian masyarakat lazimnya tertumpu kepada kemalangan itu sendiri.
Gambar-gambar yang tular mengundang rasa simpati, manakala perbincangan di media sosial sering berakhir dengan persoalan sama iaitu 'mengapa haiwan itu berada di atas jalan raya?'
Namun dari sudut pandang ekologi sosial, soalan yang lebih penting ialah mengapa jalan raya berada di tengah-tengah habitat hidupan liar? Persoalan ini mengubah cara kita melihat tragedi tersebut.
Hidupan liar bukan 'menceroboh' jalan raya, sebaliknya pembangunan telah memasuki ruang hidup yang sekian lama menjadi habitat mereka.
Jalan raya, lebuh raya, ladang, penempatan dan kawasan industri telah mengubah landskap semula jadi kepada landskap yang didominasi manusia.
Akibatnya, laluan migrasi yang digunakan selama ratusan atau ribuan tahun kini dipisahkan oleh jaringan infrastruktur moden.
Dalam ekologi sosial, manusia tidak dianggap terpisah daripada alam, tetapi merupakan sebahagian daripada sistem ekologi yang sama.
Apabila satu komponen sistem berubah, komponen lain turut menerima kesannya. Oleh itu, kematian seekor anak gajah di atas jalan raya sebenarnya bukan sekadar kehilangan seekor haiwan.
Ia mencerminkan ketidakseimbangan hubungan antara manusia, institusi, ekonomi dan alam sekitar.
Tragedi ini juga mengingatkan kita bahawa konflik manusia dan hidupan liar bukanlah semata-mata isu hidupan liar sebaliknya isu pembangunan, perancangan guna tanah, tadbir urus, keadilan sosial dan nilai yang kita letakkan terhadap alam.
Selama beberapa dekad, kejayaan pembangunan sering diukur melalui panjangnya lebuh raya, keluasan kawasan perindustrian atau peningkatan pelaburan. Namun, kita jarang bertanya apakah kos ekologi yang terpaksa dibayar oleh generasi akan datang.
Malaysia sebenarnya mempunyai pelbagai dasar yang menunjukkan komitmen terhadap pemuliharaan biodiversiti. Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) melindungi spesies hidupan liar daripada pemburuan, perdagangan dan eksploitasi.
Negara juga mempunyai Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan serta mekanisme Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek pembangunan. Kerangka ini membuktikan bahawa pemuliharaan biodiversiti bukanlah agenda yang dipinggirkan dalam dasar negara.
Namun cabaran sebenar bukanlah kekurangan dasar, tetapi bagaimana dasar tersebut dilaksanakan secara menyeluruh kerana dalam banyak keadaan, perancangan pembangunan masih dilihat sebagai tanggungjawab sektor tertentu manakala pemuliharaan biodiversiti pula dianggap urusan agensi konservasi semata-mata.
Akibatnya, pembangunan fizikal dan pemuliharaan alam bergerak dalam dua laluan yang selari tetapi jarang benar-benar bertemu. Pendekatan sebegini menyebabkan penyelesaian yang diambil sering bersifat reaktif.
Apabila berlaku kematian hidupan liar, papan tanda baharu dipasang, pagar dibaiki atau operasi pemindahan haiwan dijalankan. Semua ini penting, tetapi ia tidak menyelesaikan punca utama.
Dalam ekologi sosial, penyelesaian yang berkesan perlu bermula dengan memahami bahawa konflik tidak berlaku kerana haiwan 'bersalah', tetapi kerana sistem pembangunan gagal mengekalkan hubungan yang seimbang antara manusia dan alam.
Dalam perspektif ekologi, ia merupakan sempadan yang memecahkan habitat, menghalang pergerakan spesies, mengurangkan pertukaran genetik dan meningkatkan risiko kepupusan populasi kecil.
Kajian di Malaysia menunjukkan bahawa pembangunan rangkaian jalan telah meningkatkan kejadian kematian hidupan liar, khususnya di kawasan yang bersempadan dengan hutan, ladang dan koridor ekologi.
Dalam masa yang sama, masyarakat juga merupakan sebahagian daripada sistem ini. Cara kita memandu, mematuhi had laju, menghormati papan tanda amaran dan memahami fungsi hidupan liar dalam ekosistem menentukan sejauh mana konflik dapat dikurangkan.
Kesedaran awam bukan sekadar kempen bermusim, tetapi perlu menjadi budaya bahawa setiap pengguna jalan raya berkongsi ruang dengan spesies lain yang turut mempunyai hak untuk terus hidup.
Ekologi sosial turut mengingatkan bahawa penyelesaian tidak boleh bergantung kepada satu agensi sahaja.
Perhilitan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perhutanan, kementerian berkaitan, kerajaan negeri, syarikat konsesi lebuh raya, penyelidik, pertubuhan masyarakat sivil dan komuniti setempat merupakan sebahagian daripada sistem yang sama.
Kegagalan mana-mana komponen akan menjejaskan keseluruhan sistem. Oleh itu, tadbir urus biodiversiti perlu beralih daripada pendekatan berasaskan agensi kepada pendekatan berasaskan landskap dan sistem sosial-ekologi.
Inilah masanya Malaysia mempertimbangkan pendekatan baharu dalam pembangunan infrastruktur. Pembinaan koridor hidupan liar, jejambat fauna, laluan bawah tanah, pagar pengarah, sistem amaran pintar dan pemetaan kawasan berisiko menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS) perlu menjadi sebahagian daripada piawaian pembangunan, bukannya dilaksanakan hanya selepas sesuatu tragedi berlaku.
Langkah ini bukan sahaja melindungi biodiversiti, malah mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya. Akhirnya, tragedi demi tragedi ini mengajak kita menilai semula hubungan kita dengan alam.
Ekologi sosial mengajar bahawa manusia tidak hidup di luar alam, tetapi hidup di dalamnya. Apabila kita memutuskan koridor hutan, mengubah aliran sungai atau membina jalan yang membelah habitat, kita sebenarnya sedang mengubah sistem yang turut menyokong kehidupan manusia.
Seekor anak gajah yang mati di atas jalan raya bukan sekadar mangsa sebuah kemalangan, ia adalah simbol bahawa keseimbangan antara pembangunan dan alam masih belum benar-benar kita capai.
Selagi kita melihat biodiversiti sebagai halangan kepada pembangunan, konflik akan terus berulang. Namun, jika kita mula melihat biodiversiti sebagai asas kepada kesejahteraan sosial, ekonomi dan keselamatan negara, maka setiap keputusan pembangunan akan dibuat dengan lebih bijaksana.
Pembangunan yang benar-benar lestari bukanlah pembangunan yang memilih antara manusia atau hidupan liar. Sebaliknya, ia ialah pembangunan yang membolehkan kedua-duanya terus berkongsi landskap yang sama secara selamat, adil dan lestari.
Itulah inti pati sebenar ekologi sosial iaitu membina hubungan yang harmoni antara manusia, institusi dan alam, kerana kelangsungan satu pihak sentiasa bergantung kepada kelangsungan pihak yang lain.
* Profesor Madya Dr Azlan Abas ialah Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
