Hak UMNO, Pas meterai Piagam Muafakat Nasional

Maria Chin
Maria Chin
A
A
A

PETALING JAYA - Pemeteraian Piagam Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas merupakan hak kedua-dua parti tersebut.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, perkara itu tidak memberikan sebarang masalah sekiranya tidak membawa sebarang agenda politik perkauman yang sempit.

"Saya rasa kita tak boleh kata tidak boleh bergabung, itu hak mereka tapi apa yang saya harap mereka boleh berubah.

"Jangan sentuh politik yang boleh memecah belah, menggunakan politik perkauman dan juga agama untuk memecahkan semangat negara kita kerana kita ambil beberapa tahun untuk bina nilai harmoni di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelana di sini hari ini.

Terdahulu, enam hasrat utama Piagam Muafakat Nasional digariskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Piagam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Menurutnya, antara diketengahkan ialah berkaitan akidah, keimanan dan keikhlasan, agenda besar, jaminan permuafakatan, elakkan pergeseran, tonggak kepimpinan serta kekal selama-lamanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid berkata, permuafakatan antara UMNO dan Pas berlandaskan kepada akidah, keimanan dan keikhlasan sebagai paksi bagi memperkukuhkan kebersamaan bukan semata-mata agenda politik.

ARTIKEL BERKAITAN: Piagam Muafakat Nasional garis enam hasrat utama