Dua tahun siapkan buku rujukan silat

Abdul Wahid menunjukkan buku rujukan silat yang dihasilkan.
Abdul Wahid menunjukkan buku rujukan silat yang dihasilkan.
A
A
A

PONTIAN - Tempoh dua tahun diambil Pengerusi Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Daerah Pontian, Abdul Wahid Abu Talib untuk menyiapkan buku sukatan pelajaran bagi program 1 Sekolah 1 Silat yang akan digunakan pada tahun ini.

Abdul Wahid juga bekas Yang Dipertua Pesaka Johor berkata, buku program 1 Sekolah 1 Silat bukan bertujuan menggantikan aliran perguruan sedia ada, sebaliknya buku berkenaan diterbitkan bagi memperkenalkan sesuatu yang baharu dan memartabatkan seni persilatan yang telah wujud di negara ini.

Katanya, pendidikan tentang dunia persilatan memerlukan bahan rujukan yang boleh digunakan bagi memudahkan pengajaran dan pemahaman.

“Sebelum ini tiada buku yang boleh digunakan pelajar untuk mereka fahami silat. Ia lebih kepada latihan sahaja.

“Tetapi dengan adanya buku ini, pelajar lebih mudah faham. Sebagai contoh istilah-istilah yang digunakan dalam silat seperti cedok dan sauk,” katanya yang juga Pengarah Penerbitan Pengerusi Biro Pembangunan Sektor Pelajaran Pesaka.

Tambahnya, sukatan pelajaran seni dan sukan silat yang terdapat dalam buku ini merupakan gerakan dan langkah wajib yang digunapakai dalam setiap pertandingan seni dan sukan silat anjuran Pesaka.

“Sukatan pelajaran dalam buku ini juga lebih bersistematik dan seragam. Peraturan latihan serta ujian kelayakan yang perlu dipatuhi dalam sukatan pelajaran ini akan menghasilkan pesilat yang berdisiplin tinggi dan bersemangat waja.

“Dengan kaedah ini, kita dapat menyelesaikan banyak kekeliruan dalam membuat penilaian tahap pencapaian setiap pesilat.

Artikel Berkaitan:

“Lebih-lebih lagi setiap pertandingan keseimbangan atau tidak pesilat yang bertanding berdasarkan pengiktirafan yang ada pada mereka,” katanya.

Abdul Wahid memberitahu, pengalaman selama 16 tahun sebagai jurulatih silat membuatkan dia terpanggil untuk mengumpulkan bahan tentang ilmu persilatan.

“Saya banyak membuat rujukan di Indonesia untuk melihat cara penulisan tentang seni silat dan kaedah persilatan di sana.

“Di Indonesia, silat dipandang cukup tinggi sehingga ada universiti yang menawarkan pengajian khusus tentang silat,” katanya.

Justeru, beliau berharap buku rujukan berkenaan akan menarik minat lebih ramai golongan muda terlibat dalam seni persilatan.