Mengenang lahirnya Malaysia

A
A
A

Tanggal 16 September 1963 bukanlah tarikh keramat yang asing buat negara. Namun auranya kurang terasa di Semenanjung berbanding di Sabah dan Sarawak.

Namun sedarkah kita tarikh itu sama hebatnya dengan tarikh kemerdekaan negara 31 Ogos 1957.

Bayangkan, bagaimana kemakmuran yang dirasai di Semenanjung sebelum itu kemudian dikongsi bersama dengan Sabah dan Sarawak.Walaupun terpisah Laut China Selatan, namun hari ini Sabah dan Sarawak menerima kemakmuran sama seperti di Semenanjung.

Di atas kertas, negara Malaysia yang menyatukan Semenanjung, Sabah dan Sarawak ditubuhkan pada tanggal 16 September 1969. Namun, mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya usaha-usaha penubuhan Malaysia telah digerakkan jauh lebih awal daripada tarikh itu.

Malah, selepas kira-kira setahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, para pemimpin di Sabah dan Sarawak turut terpanggil mencapai status yang sama bebas daripada cengkaman penjajah British.

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia merangkap Pengarah Muzium Warisan Akedemik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Mohd Samsudin, beberapa tokoh dari Sabah mula bertemu dengan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1958 dan menyatakan hasrat untuk membawa Sabah yang ketika itu dipanggil North Borneo menyertai Persekutuan Tanah Melayu.

“Namun saya rasa Tunku (Tunku Abdul Rahman) pada masa itu masih memikirkan Tanah Melayu yang baru merdeka. Saya kira sekitar tahun 1960, barulah Tunku mula mencorak secara serius pembentukan Malaysia.“Kita boleh lihat (pada tahun 1961), lahir kenyataan Tunku Abdul Rahman untuk membentuk Malaysia,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Muzium Warisan Akedemik UKM di Bangi baru-baru ini.

Mohd berkata, sekiranya dibandingkan dengan apa yang dilalui oleh Sabah dan Sarawak ketika dalam perjuangan kemerdekaan, pengalamannya sama seperti di Tanah Melayu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebaik sahaja Tanah Melayu merdeka, pemimpin di Sabah dan Sarawak melihat rancangan gagasan Malaysia sebagai satu rancangan yang baik.

“Walaupun pada peringkat awalnya ada tentangan daripada pemimpin-pemimpin politik, namun Tunku Abdul Rahman bijak menggunakan kaedah bermesyuarat, bersepakat berpandukan pengalaman yang ada semasa memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

“Jadi berlakulah rundingan pemimpin-pemimpin di Sabah dan Sarawak untuk membentuk Malaysia,” kongsinya.

Mohd menegaskan, pada awalnya keutamaan pemimpin di Sabah dan Sarawak adalah untuk membebaskan wilayah berkenaan daripada penjajahan British.

“Keduanya, memfokuskan penyertaan Sabah dan Sarawak dalam satu Persekutuan di Malaysia. Usaha serius serta perbincangan dilakukan dari 1961 hinggalah 16 September 1963 apabila diumumkan pembentukan Malaysia.

Mohd yang pernah merangkul Anugerah Buku Negara 2016 (Buku Sains Sosial Terbaik) dengan karya bertajuk ‘Persekutuan Malaysia 1961-1966: Penubuhan dan Cabaran’ berkata, kedaulatan ketiga-tiga wilayah telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang dibentangkan pada 1963.

“Selain itu, penduduk di Sabah dan Sarawak juga memainkan peranan penting dalam bersetuju terhadap penubuhan Malaysia.

“Suruhanjaya Cobbold dibentuk bertujuan menilai sejauh mana penduduk di Sabah dan Sarawak bersetuju menyertai Malaysia.

“Jadi suruhanjaya ini melakukan sesi temu bual dengan penduduk di Sabah dan hampir keseluruh bahagian di Sarawak,” kata Mohd.

Menurutnya, Suruhanjaya Cobbold menyatakan majoriti penduduk di Sabah dan Sarawak bersetuju menyertai Malaysia.

“Hasrat pemimpin ini sebenarnya adalah untuk membina sebuah negara bebas daripada penjajah dan kemudiannya mahu membina kemakmuran negara berasaskan kepada persefahaman antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Sesuatu yang unik selepas Hari Merdeka dan Malaysia adalah bagaimana penyatuan, integrasi dapat berlaku dan disempurnakan melalui dasar-dasar kerajaan dan perlembagaan,” katanya.