68 warga asing ditahan di Nilai 3

Khairul Dzaimee memeriksa dokumen warga asing yang ditahan bagi menentukan dokumen dan pasport yang dimiliki mereka sama ada tulen atau sebaliknya pada Operasi Bersepadu di sekitar Pusat Komersil Nilai 3 hari ini. - Foto Bernama
A
A

NILAI - Jabatan Imigresen Malaysia menahan 68 warga asing dalam operasi bersepadu yang dijalankan di Pusat Komersil Nilai 3 di sini hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua mereka ditahan bagi menentukan dokumen dan pasport yang dimiliki mereka sama ada tulen atau sebaliknya.

Menurutnya, operasi itu dijalankan memandangkan kawasan ini seringkali mendapat perhatian pelbagai pihak mengenai kebanjiran warga asing yang dikatakan menjalankan perniagaan dan bekerja di premis perniagaan di sini.

“Jadi dalam operasi yang kita jalankan bermula jam11 pagi tadi, sebanyak 39 premis diperiksa dan seramai 298 warga asing juga telah diperiksa dokumen. Daripada jumlah itu seramai 68 iaitu Pakistan 51, Myanmar (sembilan), Kemboja (satu) dan Bangladesh (tujuh) ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut dokumen yang dimiliki mereka.

“Perbezaan ini (jumlah periksa dan tahan) agak ketara kerana berdasarkan dokumen yang diperiksa kebanyakan pekerja asing di sini mempunyai dokumen dan permit kerja yang sah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, kesemua mereka yang ditahan termasuk seorang wanita berusia antara awal 20-an hingga 40-an.

Anggota Jabatan Imigresen Malaysia memeriksa dokumen warga asing yang ditahan bagi menentukan dokumen dan pasport yang dimiliki mereka sama ada tulen atau sebaliknya pada Operasi Bersepadu di sekitar Pusat Komersil Nilai 3 hari ini. - Foto Bernama
Anggota Jabatan Imigresen Malaysia memeriksa dokumen warga asing yang ditahan bagi menentukan dokumen dan pasport yang dimiliki mereka sama ada tulen atau sebaliknya pada Operasi Bersepadu di sekitar Pusat Komersil Nilai 3 hari ini. - Foto Bernama

“Kesalahan lain yang dikesan pihak imigresen iaitu seorang wanita warga Kemboja yang menyalahgunakan pas pelancong untuk bekerja di sebuah kedai pakaian, lain-lain kesalahan tidak dikesan.

“Pihak SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) mengeluarkan 14 notis penjelasan dan kompaun selepas didapati gagal mempamerkan sijil pendaftaran perniagaan selain terus menjalankan operasi setelah tamat sijil perakuan pendaftaran perniagaan," katanya.

Beliau berkata, ketika operasi terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan turut menahan dua buah kereta.

Katanya, operasi mendapati kebanyakan warga asing yang membanjiri kawasan ini mempunyai dokumen dan pas perjalanan yang sah.

“Daripada 58 operasi yang telah dijalankan di sini sebelum ini sejak Januari tahun ini, pihak Jabatan Imigresen Negeri Sembilan hanya menahan 114 orang sahaja.

"Selain itu, terdapat juga warga asing yang berkahwin dengan penduduk tempatan dan mereka punyai permit sah untuk jalankan perniagaan atas nama pasangan atau pekerja di premis dengan kebenaran.

“Kadang-kadang terdapat persepsi mungkin silap apabila melihat ramai warga asing, tidak semestinya mereka semua adalah pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Dalam operasi ini, 292 pegawai dan anggota terlibat iaitu dari Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, SSM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. - Bernama