Isu MyKad ‘Joseph Lim Guan Eng’: DAP lapor polis

Kah Woh (empat dari kanan) dan Kam Foon (tengah) membuat laporan polis meminta menyiasat laman Facebook 'Pas Kawasan Bukit Gantang' hari ini.
Kah Woh (empat dari kanan) dan Kam Foon (tengah) membuat laporan polis meminta menyiasat laman Facebook 'Pas Kawasan Bukit Gantang' hari ini.
A
A
A

IPOH - DAP Perak meminta polis menyiasat laman Facebook 'Pas Kawasan Bukit Gantang' yang memuat naik isu warga China memiliki kad pengenalan palsu dengan memaparkan gambar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam.

Pada hantaran itu, MyKad tersebut dimanipulasi dengan tertera nama ‘Joseph Lim Guan Eng’ dengan perkataan ‘Baru Beli’ selain disertakan peta negara China dan negeri Pulau Pinang serta logo DAP yang diterbalikkan.

Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia merupakan satu percubaan untuk memberi gambaran negatif terhadap Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

“Status Facebook itu cuba memberi gambaran bahawa Guan Eng telah membeli MyKad daripada Jabatan Pendaftaran Negara.

“Jelas menunjukkan status itu bukan sahaja memburukkan Guan Eng malah kerajaan Pulau Pinang yang mana beliau merupakan bekas Ketua Menteri sejak 2008 hingga 2018.

“Laporan dibuat agar polis dapat menyiasat pemilik akaun tersebut kerana ia merupakan satu kesalahan fitnah jenayah yang serius,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Pekan Baharu di sini hari ini.

Laporan tersebut dibuat oleh Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Perak, Steven Chaw Kam Foon.

ARTIKEL BERKAITAN: 6 termasuk pegawai JPN Pulau Pinang didakwa jual MyKad

Artikel Berkaitan:

Jual MyKad: KDN arah Ketua Pengarah JPN beri kerjasama penuh

Menurutnya, Pas Kawasan Bukit Gantang telah menyalahgunakan kebebasan bersuara bagi mencapai tujuan politik mereka.

“Kita mempunyai kebebasan bersuara tetapi ia tidak bermaksud boleh disalahgunakan oleh pelbagai pihak. Pas Bukit Gantang telah berbuat demikian bagi mencapai tujuan politik.

“Kita mohon pihak polis menyiasat perkara ini kerana sebelum datang ke sini (balai polis), saya telah menyemak status ini dan ia masih ada dalam laman Facebook mereka,” katanya.

Sementara itu, Kam Foon menyifatkan status tersebut sebagai satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana cuba mencetuskan isu itu.

“Polis perlu mengambil tindakan tegas kerana menggesa rakyat tidak mudah mempercayai fitnah seperti ini yang belum dibuktikan kebenarannya,” katanya.