Bekas PM Britain akui fikir tentang Brexit setiap hari

David Cameron
David Cameron
A
A
A

LONDON - Bekas Perdana Menteri Britain, David Cameron akhirnya bersuara pada Jumaat lepas dan mengakui bahawa keputusan referendum Brexit 2016 menyebabkan beliau tertekan, lapor agensi berita China Xinhua.

Bekas pemimpin Parti Konservatif itu mengambil keputusan meninggalkan 10 Downing Street tidak sampai sebulan selepas rakyat Britain mengundi pada Jun 2016 untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU) dengan margin 52-48.

Lebih tiga tahun kemudian, tiada siapa tahu bagaimana saga Brexit akan berakhir, dengan Perdana Menteri, Boris Johnson masih yakin bahawa satu perjanjian akan dicapai dengan Brussels menjelang tarikh akhir 31 Oktober, yang menyaksikan Britain dijadual meninggalkan blok itu meskipun berdepan pelbagai cabaran untuk merealisasikannya.

Dalam satu temu bual pada Jumaat dengan akhbar The Times Britain, Cameron berkata, beliau sedar bahawa sesetengah orang tidak akan memaafkan beliau kerana mengadakan referendum itu, namun beliau berpendapat bahawa langkah tersebut adalah sesuatu yang tidak mampu dielakkan.

"Isu ini perlu ditangani dan saya berpendapat bahawa satu referendum perlu diadakan, jadi lebih baik kita cuba untuk melakukan beberapa perubahan dan mengadakan referendum.

"Namun, saya menerima hakikat bahawa usaha itu telah gagal. Saya faham bahawa sesetengah orang amat marah kerana mereka tidak mahu keluar dari EU. Begitu juga dengan saya," kata ahli politik yang melanjutkan pengajian ke Eton itu.

Cameron mengakui bahawa beliau memikirkan tentang referendum itu setiap hari dan hakikat bahawa beliau telah kalah.

"Saya amat bimbang tentang apa yang akan berlaku seterusnya. Saya rasa kita boleh berada dalam situasi yang menyaksikan kita keluar namun kekal sebagai sahabat, jiran dan rakan kongsi.

Artikel Berkaitan:

"Kita boleh mencapainya, namun saya ingin mempercepat masa itu kerana ia menyakitkan negara dan begitu pilu untuk dilihat," katanya.

Cameron, dalam temu bual itu turut menuduh Johnson dan Menteri Kabinet, Michael Gove berkelakuan memualkan semasa kempen referendum EU 2016 dan berkata mereka telah merahsiakan kebenaran.

Beliau juga berkata, Johnson telah menjangkakan bahawa Britain akan mengundi untuk kekal dalam EU dan menambah bahawa beliau berharap agar Johnson mampu mendapatkan satu perjanjian dengan Brussels.

Cameron berkata, beliau juga percaya bahawa referendum kedua mungkin jalan penyelesaian bagi kemelut itu.

Temu bual dibuat sebelum penerbitan memoir beliau yang berjudul 'For The Record' yang memberikan butiran terperinci mengenai debat tentang Brexit sebelum, semasa dan selepas referendum itu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: PM Britain tetap mahu Brexit tanpa perjanjian

EU enggan ubah perjanjian Brexit