EU enggan ubah perjanjian Brexit

Michel Barnier
A
A

BRUSSELS - Ketua Perunding Kesatuan Eropah (EU), Michel Barnier semalam menegaskan blok terbabit tidak akan mengubah perjanjian Brexit yang dipersetujui dengan bekas Perdana Menteri, Theresa May.

Menurutnya, elemen paling kontroversi dalam perjanjian itu mekanisme ‘backstop’ yang bertujuan untuk memastikan sempadan terbuka di Ireland Utara perlu dikekalkan walaupun berdepan bantahan Britain.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson yang mengambil alih kuasa pada bulan lalu menggesa supaya peruntukan itu dibatalkan bagi mencapai kesepakatan baharu menjelang tarikh akhir Brexit pada 31 Oktober depan.

“Backstop adalah kelonggaran paling maksimum yang boleh ditawarkan EU kepada negara bukan anggota. Saya tidak optimis tentang senario ‘tiada perjanjian’, namun saya sedia meneliti segala jalan yang diberikan Britain yang bersesuaian dengan perjanjian itu,” jelas Barnier.

Menurutnya lagi, perbincangan untuk alternatif backstop juga tidak akan bermula sehingga Britain meluluskan perjanjian Brexit yang dicapai bersama May pada tahun lalu.

Difahamkan, perjanjian tersebut ditolak sebanyak tiga kali oleh Parlimen Britain hingga menyebabkan tarikh akhir Brexit terpaksa ditangguhkan kepada 31 Oktober depan. - AFP


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia