Jawatankuasa tatatertib perlu ambil tindakan tegas

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib PKR pusat perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli parti yang mempertikai keputusan kepimpinan tertinggi.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Terengganu, Azan Ismail berkata, sesiapa yang melanggar peraturan parti perlu dikenakan tindakan tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

"Ini kerana ia boleh menyumbang kepada perpecahan dan huru-hara dalam parti yang baru sahaja pulih setelah melalui episod pemilihan yang panjang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mempertikai pelantikan beberapa jawatan utama kepemimpinan parti.

Menurut Azan, keputusan dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah berlandaskan peraturan serta perlembagaan parti dan tidak sewajarnya dipertikai, bahkan perlu dihormati bagi mengelak perpecahan yang boleh membawa kepada kehancuran parti.

“MPN Terengganu berpendapat bahawa keputusan dibuat presiden dan diputuskan bersama dalam MPN pusat pada 28 Disember lalu adalah inklusif dan bertujuan memperkukuh kesatuan dalam parti selepas melalui proses pemilihan yang panjang.

“Oleh itu, keputusan tersebut tidak perlu dipersoalkan kerana semua pihak termasuk Azmin sudah menyatakan sokongan secara terbuka kepada usaha pengukuhan parti selepas tempoh pemilihan tempoh hari,” katanya.

Azan turut melahirkan kebimbangannya terhadap gerakan terancang dalam parti yang cuba melemahkan kedudukan dan kewibawaan presiden dengan cara mengkritik serta mempertikaikan keputusan dibuat sebulat suara oleh MPN pusat apatah lagi ia dilakukan secara terbuka melalui saluran media.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau mengingatkan supaya anggota PKR Terengganu dan sesiapa sahaja tidak terpengaruh terhadap cubaan membesar-besarkan perpecahan dalam parti yang tidak mendatangkan kebaikan kepada semua pihak.

“Walaupun PKR menyanjung tinggi prinsip keterbukaan, segala permasalahan mestilah diselesaikan dengan cara yang baik dan mengikut peraturan.

“Ini kerana semua parti (politik) di dunia mempunyai undang-undang atau perlembagaan yang perlu dipatuhi dan tidak perlu laporan melalui media kerana kita sudah ada saluran lebih baik dalam parti,” katanya. - Bernama