Pulau Pinang tangguhkan semua aktiviti sukan

A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang telah mengeluarkan arahan untuk menangguhkan semua aktiviti sukan buat sementara waktu dalam keadaan jerebu yang bertambah buruk.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, memandangkan keadaah jerebu semakin buruk, semua aktiviti sukan yang berkaitan kerajaan negeri telah diarahkan untuk tangguh sehingga diberitahu kelak.

"Saya telah dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Soon Lip Chee bahawa beliau telah mengarahkan semua aktiviti sukan di negeri ini ditangguhkan buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Keadaan berjerebu di negeri ini bertambah buruk hari ini selepas dua kawasan mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat iaitu di Balik Pulau dan Minden, USM.

Berdasarkan maklumat Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPU di Balik Pulau direkodkan pada paras 136 manakala Minden, USM pula 107 setakat pukul 1 tengah hari tadi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, sebanyak 100,000 topeng muka akan diedarkan kepada orang ramai di seluruh negeri melalui semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya minum air yang banyak serta menghentikan semua aktiviti luar sehingga keadaan jerebu ini disahkan pulih.

"Kita akan mengedarkan topeng muka itu kepada orang ramai di mana keutamaan akan diberikan kepada warga emas dan kanak-kanak.

"Saya juga ingin menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang masalah kesesakan nafas atau batuk untuk mendapatkan rawatan doktor segera," katanya.

Bagi sekolah-sekolah di Pulau Pinang, Phee berkata, pihak Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan arahan mengenai langkah-langkah yang harus dipatuhi dalam keadaan jerebu.

Katanya, sekiranya tahap IPU mencapai paras 200, maka sekolah-sekolah di kawasan itu akan ditutup.-Bernama