Johor bayar Petronas 50 sen setiap m3 air

Jimmy
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor membayar 50 sen setiap kubik meter air (m3) kepada Petronas bagi kos pengepaman air dari Empangan Seluyut ke Empangan Sungai Lebam dan Empangan Upper Layang sejak Julai lalu.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, kos itu dikongsi kerajaan negeri bersama Ranhill SAJ Sdn Bhd.

"Kita menghadapi isu bekalan air tidak mencukupi, maka kita akan mengepam air dari Empangan Seluyut yang sekarang dimiliki oleh Petronas.

"Air dipam menggunakan elektrik dan kos itu ditanggung oleh Kerajaan Johor. Sekarang kita kena bayar 50 sen setiap m3.

"Sebenarnya 50 sen ini dikongsi oleh kerajaan dengan operator air," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor yang ke-14 ditangguhkan hari ini.

Sebelumnya, beliau menjawab soalan lisan Tanjung Surat, Bukit Pasir, Perling dan Pekan Nanas secara bersekali berhubung isu air yang dibangkitkan.

Mengulas lanjut, Jimmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu berkata, sejak Julai lalu, Empangan Seluyut menyalurkan air dua kali ganda ke Empangan Lebam bagi menstabilkan storan air mentah dan mengelakkan gangguan bekalan air kepada penduduk setempat.

"Bermula Julai hingga September, jumlah yang dipam untuk Empangan Sungai Lebam, 60 juta liter setiap hari (MLD). Kita terpaksa naikkan daripada 30 MLD sebelum ini kepada 60 MLD. Lebih menyedihkan, tak ada kenaikan tapi paras air itu kekal sahaja.

"Bagi Empangan Layang pula, Empangan Seluyut pam 130 juta liter setiap hari. Satu angka yang sangat besar," katanya.

Mengulas soal pembenihan awan dicadangkan Yeo Tung Siong (PH-Pekan Nanas), Jimmy berkata, peratusan pembenihan awan sangat rendah dan perlu melihat keadaan cuaca.

"Operasi Pembenihan Awan (OPA) masalahnya, peratus kejayaannya sangat rendah. Bukan hari ini buat terus dapat. Sangat rendah hanya 10 atau 20 peratus sahaja.

"Kita akan buat OPA tapi banyak faktor perlu dilihat bukan boleh buat bila-bila sahaja. Kalau Jabatan Meteorologi kata kita boleh terbang (membuat OPA) baru boleh naik, kalau tidak membazir," katanya.

Katanya, Empangan Lebam dalam keadaan kritikal namun operasi pembenihan awan sukar dijalankan susulan kawasannya terletak berhampiran pantai.

Kerajaan negeri akan menggunakan peruntukan kecemasan sebanyak RM175,000 bagi lima kali operasi pembenihan awan yang akan dijalankan dalam masa terdekat.

Jimmy turut memaklumkan akan memohon peruntukan RM1 juta untuk belanjawan tahun depan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia