2 ADUN DAP Perak letak jawatan dalam parti demi Paul Yong

Cheok Keng (tengah) dan Thye Yih (kanan) pada sidang media mengumumkan peletakan jawatan mereka di dalam Jawatankuasa DAP Perak mulai hari ini.
A
A

IPOH - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP mengumumkan peletakan jawatan di dalam jawatankuasa DAP Perak hari ini.

ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng berkata, beliau bersama ADUN Pokok Assam, Leow Thye Yih tidak berpuas hati dengan kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming di dalam akhbar berbahasa Cina berhubung perbincangan dalam Pakatan Harapan (PH) mengenai kedudukan Exco kerajaan negeri, Paul Yong yang menghadapi pertuduhan merogol pembantu rumah.

Menurutnya, kenyataan tersebut disifatkan tidak wajar kerana ia tidak dibincangkan terlebih dahulu di dalam jawatankuasa DAP Perak.

"Kami mengumumkan peletakan jawatan di dalam Jawatankuasa DAP Perak serta-merta kerana tidak gembira dengan berita bahawa jawatan Exco Paul Yong akan dibincangkan di peringkat PH Perak tanpa dibincangkan di dalam jawatankuasa DAP Perak.

"Pada pandangan kami, sebelum sesuatu perbincangan dibuat di dalam Majlis PH Perak, perkara itu perlu dibincangkan dahulu di peringkat DAP negeri kerana lantikan Paul sebagai Exco merupakan cadangan daripada jawatankuasa sendiri DAP sendiri," katanya kepada pemberita ketika sidang media tergempar di pejabatnya di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Thye Yih yang juga Timbalan Setiausaha Organisasi DAP Perak.

Cheok Keng yang merupakan Timbalan Bendahari DAP Perak berkata, beliau akan terus menjalankan tugas sebagai ADUN Malim Nawar dan masih kekal sebagai ahli DAP begitu juga dengan Thye Yih.

Beliau yang juga peguambela Paul menjelaskan, anak guamnya masih belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah dan keputusan untuk mengkaji kedudukannya sebagai Exco tidak wajar dilakukan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan keputusan untuk meletakkan jawatan di dalam parti itu dilakukan secara peribadi sebagai tanda solidariti kepada Paul.

"Jika perlu, saya dan YB Pokok Assam akan menghantar surat peletakan jawatan secara rasmi kepada DAP Perak dan setakat ini keputusan kami muktamad.

"Kita melihat jawatankuasa DAP Perak tidak berfungsi untuk membincangkan perkara tersebut, jadi kalau kami ada dalam jawatankuasa itu pun tak ada gunanya," katanya.

Jelas Cheok Keng, beliau yakin Paul akan bebas daripada tuduhan itu berdasarkan bukti yang ada biarpun perbicaraan belum dimulakan.

Sementara itu, Kor Ming yang dihubungi Sinar Harian menafikan kenyataan tersebut dibuat.

Menurutnya, kedudukan Paul selaku Exco kekal status quo sepertimana diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.