Negara perlukan reset politik, sudah tiba masa mandat kerajaan diperbaharui - Razlan

Mohd Razlan
Mohd Razlan
A
A
A

SHAH ALAM - Negara memerlukan nafas baharu menerusi reset politik bagi membolehkan rakyat menilai semula hala tuju negara selain menamatkan segala polemik yang berlarutan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, sudah tiba masanya mandat kerajaan diperbaharui kerana setiap mandat dalam sistem demokrasi mempunyai tempoh tertentu.

Menurutnya, penggal Kerajaan Perpaduan yang sudah mencecah empat tahun menunjukkan bahawa rakyat wajar diberi peluang untuk menentukan semula hala tuju kepimpinan negara.

"Rakyat berhak mendapat pembelaan daripada kerajaan. Dalam empat tahun ini, ekonomi berkembang dan kerajaan kekal stabil. Barisan Nasional (BN) berada dalam semua saat dan ketika itu.

"Namun, dalam demokrasi, setiap mandat ada tempohnya. Sampai masanya, mandat itu perlu diperbaharui," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Rabu.

Mohd Razlan berkata, semua pihak perlu berani dan percaya kepada sistem demokrasi, sekali gus menghormati pilihan rakyat dalam menentukan kepimpinan negara.

"Kuasa bukan milik individu dan bukan juga milik mutlak mana-mana parti. Sudah tiba masanya, kita kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baharu," ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa purata tempoh antara pilihan raya umum (PRU) di Malaysia adalah sekitar empat tahun dua bulan, manakala tempoh pentadbiran kerajaan ketika ini sudah mencecah empat tahun.

"Jadi, tiada alasan untuk kepimpinan Pakatan Harapan (PH) sekali lagi melabel BN tamak kuasa atau gila kuasa apabila soal memperbaharui mandat dibangkitkan, seperti yang dilemparkan kepada BN sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tempoh hari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Razlan menyifatkan, empat tahun bukanlah tempoh yang lama bagi sesebuah kerajaan, namun hakikatnya empat tahun adalah tempoh yang sudah cukup matang bagi satu penggal pilihan raya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!