934 nelayan ditahan, nilai tangkapan RM118 juta

Zulkarnain mempengerusikan Mesyuarat Ops NAGA di ibu pejabat APMM Pahang di sini hari ini.
A
A

KUANTAN - Seramai 934 nelayan berjaya ditahan dengan nilai tangkapan hampir RM118 juta di kawasan perairan tiga negeri Pantai Timur dalam Operasi Naga Barat (Op Naga) bermula 2 Mei hingga kelmarin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, jumlah itu meliputi awak-awak nelayan yang terdiri daripada 822 warganegara Vietnam, sembilan warganegara Myanmar, 11 Kemboja dan bakinya warga tempatan.

Menurutnya, mereka semua ditahan hasil daripada 97 tangkapan dan pemeriksaan terhadap 1,674 vesel membabitkan pengoperasian bersama Tentera Laut Diraja Malaysia; Tentera Udara Diraja Malaysia; Pasukan Polis Marin (PPM); Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Perikanan yang diketuai Maritim Malaysia.

"Operasi ini membabitkan rondaan dan penguatkuasaan secara bersepadu di perairan dan ruang udara Pahang, Terengganu dan Kelantan dalam tempoh berkenaan.

"Dengan kejayaan operasi bersepadu siri pertama ini, ia akan diteruskan bagi memastikan perairan negara kita tidak terus diceroboh dan nelayan tempatan dapat menjalankan aktiviti tanpa gangguan dan saingan nelayan asing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas Mesyuarat Ops Naga Barat di ibu pejabat Maritim Negeri Pahang di Indera Mahkota di sini semalam.

Mesyuarat tersebut membabitkan kesemua wakil agensi pengoperasian Ops Naga Barat.

Zulkarnain berkata, kesemua awak-awak itu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985, iaitu menangkap ikan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/1963 iaitu memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Pada 24 April lalu Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong mengumumkan penubuhan pasukan khas bertujuan menangani aktiviti bos nelayan asing, terutama Vietnam daripada terus berleluasa di perairan Malaysia.

Melalui penubuhan pasukan khas berkenaan dua jawatankuasa diwujudkan iaitu Jawatankuasa Penguatkuasaan Undang-Undang serta Jawatankuasa Dasar dan Perundangan.