Syarikat pembinaan perlu serius jika mahu tender kerajaan

Mohd Solihan (kanan) pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Syarikat pembinaan yang berhasrat mendapatkan projek tender kerajaan perlu lebih serius dalam perniagaan bagi mengelak berlakunya masalah projek terbengkalai.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd Solihan Badri berkata, syarikat pembinaan tersebut perlu memastikan pengurusan kewangan, pentadbiran dan kakitangan selain sedar keupayaan syarikat masing- masing bagi mengelak sebarang masalah berlaku.

"Perkara itu juga bagi memastikan pemberian projek pembinaan dari tender kerajaan dapat diselesaikan dengan sempurna sekali gus terhindar daripada masalah terbengkalai.

“Kita tidak mahu lagi ada projek-projek yang tergendala dan tidak siap di kemudian hari. Persediaan kewangan juga penting kerana jika ia tidak ada, masalah seperti sub projek akan terus berlarutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Mohd Solihan berkata, sekiranya ada projek tergendala, langkah terakhir yang perlu diambil adalah penamatan kontrak kepada kontraktor yang telah diberikan tender pembangunan berkenaan.

Menurutnya, kerajaan sebenarnya mahu mengelak daripada melakukan penamatan kontrak kerana ia membabitkan urusan yang rumit serta pembaziran kos.

“Seperti kes baru-baru ini sebuah Makmal Patologi di Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang bernilai RM42 juta juga kita telah tamatkan kontraknya kerana tergendala lebih 100 hari.

“Alasan yang diberikan syarikat kontraktor itu pula adalah kerana mereka sedang melakukan penstrukturan semula syarikat mereka, sepatutnya perkara ini tidak boleh berlaku, mereka (syarikat) perlu tahu keupayaan syarikat mereka sebelum menerima projek,” katanya.

Mengulas lanjut, selain Makmal Patologi HSA, beberapa lagi projek yang ditamatkan kontrak adalah pembinaan jambatan di Plentong, Pasir Gudang bernilai RM21 juta dan dua sekolah di Perling, di sini bernilai RM20 juta.

"Penamatan kontrak ini bukanlah satu penyelesaian yang baik kerana ia memerlukan prosedur dan beberapa peringkat untuk dilaksanakan, namun saya berharap syarikat pembinaan dapat bersedia sebelum menceburi bidang ini," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia