Pengedar dadah muda dicekup

Allaudeen menunjukkan bangku yang dijadikan tempat menyembunyikan dadah itu.
Allaudeen menunjukkan bangku yang dijadikan tempat menyembunyikan dadah itu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu berjaya menahan seorang pengedar dadah muda yang dipercayai aktif melakukan aktiviti itu sejak Oktober lalu di sekitar Kuala Terengganu dan Marang, Rabu lalu.

Penahanan suspek berusia 21 tahun itu juga membawa kepada rampasan dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM13,956 serta 2,000 biji pil kuda jenis Yaba bernilai RM20,000.

Sebahagian daripada dadah yang dirampas.
Sebahagian daripada dadah yang dirampas.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, suspek ditahan kira-kira jam 9.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

“Polis mendekati suspek yang ketika itu berada atas motosikal, di hadapan sebuah rumah di Jalan Sekolah Pusat Kuala Ibai, di sini.

“Setelah polis memperkenalkan diri, suspek bertindak membuang sepaket plastik di atas jalan, lalu cuba melarikan diri, bagaimanapun berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan, polis mendapati paket plastik yang dibuang itu mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah,” katanya pada sidang media di IPK Terengganu, di sini, hari ini.

Jelasnya, hasil soal siasat membawa kepada serbuan ke sebuah rumah di Taman Kalongan Mas, Rusila, Marang.

Keseluruhan rampasan, melibatkan lima paket plastik berisi serbuk dan ketulan kristal dipercayai syabu, dengan anggaran berat kasar 164.17 gram bernilai kira-kira RM13,956 serta 2,000 biji pil kuda jenis Yaba dengan anggaran berat kasar 200 gram, bernilai RM20,000.

Artikel Berkaitan:

“Kita percaya suspek bergerak sendiri dan mendapatkan bekalan daripada orang lain. Kita juga tidak menolak kemungkinan dia turut mengedarkannya kepada pelajar sekolah.

“Suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan awal urinnya, negatif. Dia kini direman selama tujuh hari sehingga 2 Januari depan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.