Ladang terbakar: Kualiti udara lima sekolah dipantau

Shaharuddin Basri
Shaharuddin Basri
A
A
A

PONTIAN - Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan terus memantau empat sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah berdekatan ladang tanah gambut milik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang terbakar di Jalan Johor-Pontian di sini.

Pegawainya, Shaharuddin Basri Ibrahim berkata, sekolah terbabit terletak kira-kira lima kilometer (km) dari lokasi kebakaran yang berisiko tinggi terdedah kepada jerebu dari asap pembakaran.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Osman Saat, Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Selangor, SK Seri Bunian, SK Sungai Bunyi dan SK Seri Bukit Panjang, membabitkan jumlah keseluruhan pelajar seramai 1,658 orang.

Menurutnya, penutupan sekolah boleh dibuat jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terus mencecah bacaan 200 ke atas.

"Surat panduan bagi menghadapi jerebu telah diedar ke sekolah-sekolah di daerah ini.

"Kita akan terus memantau sekolah terlibat dan memberikan bantuan sewajarnya memandangkan keadaan jerebu yang berlaku sekarang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di SK Parit Selangor di sini tengah hari tadi.

Terdahulu, beliau bersama Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan meninjau SK Parit Selangor selepas 14 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah itu dipindahkan ke SK Kampung Sawah hari ini.

Artikel Berkaitan: