'Lot tanah bukan milik peneroka'

Video tular bertajuk 'Nasib orang Selangor indah khabar dari rupa' tersebar di Facebook pada Khamis.
Video tular bertajuk 'Nasib orang Selangor indah khabar dari rupa' tersebar di Facebook pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor menafikan dakwaan peneroka kelapa sawit bahawa pengambilan tanah di Mukim Bestari Jaya di sini hanya untuk kepentingan syarikat dan tidak mengambil kira kebajikan penduduk.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli berkata, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan keharmonian masyarakat di samping pembelaan sewajarnya kepada rakyat.

"Pada masa sama, kerajaan negeri juga mempunyai tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat secara keseluruhan khususnya perkara melibatkan perkhidmatan bekalan air seperti yang ditimbulkan pihak peneroka terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Juwairiya berkata, perkara itu tidak sepatutnya dibangkitkan peneroka sawit kerana lot tersebut hak milik Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) yang dikategorikan sebagai tanah bencah di bawah Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kuala Selangor 2025.

"Pada semalam (Khamis), saya telah bertemu dengan tiga wakil peneroka setelah kerja-kerja dimulakan oleh syarikat Hasil Perangsang Resources Sdn Bhd (Hasil Perangsang) mendapat tentangan (daripada peneroka sawit).

"Hasil perbincangan itu, pihak peneroka faham dan jelas bahawa tanah tersebut bukan milik mereka dan perlu mengosongkan tapak apabila pihak kontraktor memulakan kerja," katanya.

Menurut beliau, dalam perbincangan itu juga, peneroka memohon pampasan sewajarnya diberikan dan arahan pemberhentian kerja (stop work order) diberikan sementara proses rundingan berlaku antara pihak peneroka dan pihak syarikat dalam masa terdekat.

Ujarnya, kawasan lot itu sebelum ini merupakan sebahagian daripada kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan takungan air negeri Selangor iaitu zon Hybrid River Off Storage (HORAS) pada 2009.

"Berdasarkan Seksyen 48 Enakmen LUAS, tanah yang berada dalam di dalam zon HORAS adalah dilindungi dan sebarang perusahaan tanah atau aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran kawasan seperti aktiviti pertanian atau perladangan tidak dibenarkan," jelas beliau.

Bagaimanapun, ujar beliau, atas dasar timbang rasa KHSB melalui anak syarikat, Hasil Perangsang telah menawarkan sewaan kepada peneroka sebahagian lot bagi tujuan pertanian selama dua tahun sementara kerja-kerja selanjutnya dimulakan pada 17 Jun 2020.

"Namun, pihak peneroka tidak bersetuju dan menolak tawaran tersebut sehingga satu satu sesi pertemuan diadakan pada 24 Mac 2020 antara wakil peneroka dengan pihak KHSB, Kumpulan Semesta Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor telah diaturkan bagi meneliti isu ini.

"Maklum balas pihak KHSB pada 20 Jun 2022 memaklumkan bahawa permohonan pihak peneroka tidak dapat dipertimbangkan dan peneroka terus mengusahakan serta mengutip hasil sawit tanpa kebenaran," jelas beliau.

Sebelum ini tular video bertajuk 'Nasib orang Selangor indah khabar dari rupa' tersebar di Facebook.

Video berdurasi satu minit lapan saat itu menunjukkan sekumpulan peneroka yang tidak berpuas hati dengan pengambilan tanah sawit.