X

Kindly register in order to view this article
!

Parlimen UK tolak pilihan raya awal

Boris Johnson
A
A

LONDON - Ahli Parlimen Britain mengundi menolak percubaan kedua kerajaan pada Isnin untuk mengadakan pilihan raya awal, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Meskipun kerajaan memenangi usul itu dengan 293 undi menyokong berbanding 46 menentang, ia gagal mencapai keputusan majoriti dua pertiga daripada sejumlah 434 anggota parlimen sebagaimana yang ditetapkan bagi mengadakan satu pilihan raya umum.

Parti Buruh, Parti Demokrat Liberal, Parti Kebangsaan Scotland dan Parti Plaid Cymru telah bergabung untuk menghalang Boris Johnson daripada mengadakan satu pengundian baharu dengan mengundi menentang atau mengambil sikap berkecuali, sekali gus menghadiahkan perdana menteri itu kekalahan keenam beliau pada undian keenamnya dalam tempoh enam hari.

"Saya sebelum ini menggesa dewan agar mempercayai rakyat namun sekali lagi pembangkang fikir mereka (mempunyai pandangan yang) lebih baik,” kata perdana menteri itu sejurus selepas kekalahannya sambil menambah bahawa "mereka mahu perdana menteri Britain mengadakan rundingan penting tanpa kuasa untuk menyelamatkan diri.”

"Mereka ingin menangguhkan Brexit sekali lagi, tanpa rujukan lanjut kepada mereka yang mengundi untuk menyokongnya ... dan kini sidang dewan perlu ditangguhkan dan menyambung semula pembukaan rasmi serta titah Baginda Ratu pada 14 Oktober, dan saya berharap pembangkang akan memanfaatkan masa itu untuk muhasabah diri. Sementara itu, kerajaan akan meneruskan langkah untuk merundingkan satu perjanjian," kata Johnson.

Sebagai reaksi terhadap keputusan undian dan kenyataan Johnson, pemimpin pembangkang Jeremy Corbyn menggesa perdana menteri itu mendedahkan butiran cadangannya untuk rundingan dengan Kesatuan Eropah (EU), termasuk yang membabitkan isu backstop di Ireland.

Pemimpin pembangkang itu turut mengkritik perdana menteri berkenaan kerana menangguhkan sidang parlimen, menyifatkan langkah itu sebagai tidak demokratik dan bersifat pengecut kerana tidak ingin berdepan pengawalan rapi atau akauntabiliti bagi usahanya yang cuba memaksa penerimaan Brexit tanpa perjanjian.

Corbyn mengulangi bahawa beliau ingin bertanding dalam pilihan raya namun bukan yang akan memaksa United Kingdom (UK) keluar dari EU tanpa sebarang perjanjian.

"Satu perkara yang tidak dinyatakan oleh perdana menteri ialah beliau akan mematuhi undang-undang negara ini. Beliau tidak mengatakan, mengakui atau menerima tiga undian yang telah berlangsung di parlimen ini, dan atas permintaan beliau, dewan kini, susulan apa yang berlaku pada malam ini, akan ditangguhkan dan bakal menjadi satu penangguhan yang panjang dalam sejarah, semata-mata bagi sebarang soalan berkaitan apa yang sedang beliau lakukan atau tidak lakukan,” kata Corbyn. "Kerajaan ini sangat memalukan."

Dewan Rakyat telah meluluskan dua usul pada Isnin: satu adalah bagi memaksa kerajaan menerbitkan semua penilaian berhubung kerosakan akibat langkah keluar tanpa perjanjian manakala satu lagi adalah untuk memaksa perdana menteri itu mematuhi kedaulatan undang-undang dan meminta lanjutan masa dari EU jika langkah keluar tanpa perjanjian itu dipersetujui menjelang 19 Oktober.

Parlimen kini telah ditangguh sehingga titah Baginda Ratu pada 14 Oktober dengan UK dijangka keluar dari EU pada 31 Oktober - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus