Guru Orang Asli rugi ditipu scammer

No Image Caption
A
A
A

TEMERLOH - Hasrat seorang guru taska berketurunan Orang Asli untuk membuat pinjaman wang bukan sahaja tidak kesampaian tetapi dia pula rugi RM3,680 akibat ditipu scammer.

Dalam kejadian Khamis lalu, wanita berusia 36 tahun tersebut tertarik dengan satu iklan pinjaman wang di laman sosial Facebook dan berhasrat membuat pinjaman sebanyak RM10,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superitendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berhubungan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, tanpa syak wasangka mangsa menyerahkan segala maklumat termasuk slip gaji dan nombor akaun kepada individu bernama Hanif.

"Mangsa melayari laman Facebook "Kwikash service" dan kemudiannya berhubungan melalui WhatsApp. Setelah semakan, mangsa kononnya layak membuat pinjaman sebanyak RM20,000," katanya kepada media.

Beliau berkata, bagi meluluskan permohonan tersebut mangsa diminta membuat beberapa transaksi.

"RM680 di masukkan ke dalam akaun CIMB di atas nama Nurulainey dan RM1,000 atas akaun sama untuk proses akaun semasa.

"RM2,000 dipindahkan ke akaun Hong Leong Bank atas nama Teo Hua Huat dan kemudiannya diminta memindahkan RM3,000 untuk tujuan sama tetapi mangsa mula rasa curiga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, mangsa rugi RM3,680 kerana terpedaya dengan tawaran pinjaman tidak wujud tersebut.

"Apabila merasa tertipu, mangsa membuat laporan polis di IPD Temerloh. Kes di siasat di bawah Seksyen 420 kanun keseksaan," katanya.