Janu arkitek kejayaan Bagan BC

Barisan pemain dan jurulatih Bagan BC meraikan kejayaan muncul juara sulung Divisyen Tiga ACPLJ2019 di Sports Arena Falim, Ipoh semalam.
Barisan pemain dan jurulatih Bagan BC meraikan kejayaan muncul juara sulung Divisyen Tiga ACPLJ2019 di Sports Arena Falim, Ipoh semalam.
A
A
A

BAGAN Badminton Club (Bagan BC) mendedikasikan kejayaan mengungguli Divisyen Tiga AEON Credit Purple League Junior (ACPLJ2019) kepada jurulatih dari Indonesia, Janu Saputra yang membimbing kelab berkenaan sejak lima tahun lalu.

Ketua Jurulatih Bagan BC, Alif Razlan berkata, Janu memainkan peranan penting membimbing kelab itu sehingga berjaya melahirkan beberapa pelapis berbakat.

“Janu telah bersama kami sejak lima tahun yang lalu dan memberi kesan kepada peningkatan prestasi pemain daripada segi skil dan stamina.

“Untuk kejohanan ini, kami membuat persiapan dengan mengadakan latihan pusat selama dua bulan di PIBA (Persatuan Badminton India Penang) di mana pemain bernaung di bawah persatuan ini,” katanya.

Pada saingan di Sports Arena Falim, Ipoh menyaksikan Bagan BC pada suatu ketika berada di tempat kedua carta sebelum menumpaskan Cheras TP BC, Labuan DSBC dan Bayan Lepas BC.

Bagan BC meneruskan rentak cemerlang mereka kelmarin selepas menundukkan Segamat Spiritual BC dan Seremban City BC, sekaligus mengesahkan kejuaraan dan slot automatik ke Divisyen Dua musim depan.

Cheras TP BC pula terpaksa berputih mata dengan sekadar menjadi naib juara manakala Segamat Spiritual BC menamatkan kedudukan di tempat ketiga.

Selain menempah slot Divisyen Dua, Bagan BC membawa pulang RM1,500 selaku juara sementara Cheras TP BC dan Segamat Spiritual BC masing-masing membawa pulang RM1,000 dan RM800.

Artikel Berkaitan:

ACPLJ2019 akan kembali bersambung pada 21 hingga 22 September ini di lokasi yang sama untuk membuka tirai persaingan Divisyen Satu dan Divisyen Dua.

Aksi Divisyen Dua dan Divisyen Satu turut akan berlangsung pada 5 dan 6 Oktober di Challenger Sports Centre, Ampang sebelum pusingan akhir membuka tirai di Sports Arena Sentosa, Kuala Lumpur pada 19 dan 20 Oktober depan.