Promosi berterusan tarik ramai pelancong Jepun ke Malaysia

Timbalan Pengarah Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia di Osaka, Shahrulnazri Shaharuddin ketika menjawab pertanyaan dalam sidang media bersama wartawan Malaysia di Kyoto, hari ini. Foto: Bernama
A
A

KYOTO - Usaha berterusan Tourism Malaysia mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan di Jepun, membantu meningkatkan jumlah ketibaan pelancong Jepun ke Malaysia.

Timbalan Pengarah Pelancongan Malaysia di Pejabat Osaka, Shahrulnazri Shaharuddin berkata, sejak Januari hingga Jun tahun ini, ketibaan pelancong Jepun di Malaysia meningkat 5.6 peratus kepada 195,561.

"Pengenalan Mega Pelancongan Malaysia yang dilakukan beberapa kali sejak awal tahun ini, sudah membuahkan hasil," katanya kepada media Malaysia dalam temu bual di sini.

Beliau berkata, media dan orang yang berpengaruh yang menyertai program menulis dan memuat naik cerita, terutama mengenai pengalaman perjalanan mereka ke Malaysia, kebanyakannya di media sosial, telah membantu menjangkau demografi yang lebih muda, dan menggalakkan mereka untuk meneroka destinasi berkenaan.

Beliau berkata, pejabat Tourism Malaysia di Tokyo dan Osaka juga sentiasa memuat naik berita dan cerita di semua media sosial bagi memastikan orang ramai mengetahui maklumat terkini apa yang sedang berlaku di Malaysia dan aktiviti yang boleh dilakukan di negara itu.

"Maklumat berterusan di media sosial menunjukkan bahawa Tourism Malaysia aktif berkongsi maklumat terkini dan peristiwa yang berlaku di Malaysia, memastikan keterlihatan Malaysia sentiasa berterusan di media sosial," katanya.

Beliau berkata, program lawatan sekolah merupakan satu lagi usaha Tourism Malaysia di Jepun untuk mempromosi Malaysia ke semua sekolah dan kolej bagi marancang percutian tahunan mereka.

"Lawatan sempena cuti sekolah merupakan sebahagian daripada kurikulum pendidikan Jepun, dengan pelajar akan berjalan sama ada di dalam atau di luar negara untuk tempoh masa tiga hingga empat malam, bergantung kepada umur pelajar, kos dan bilangan pelajar," katanya.

Beliau berkata satu lagi faktor penyumbang ialah cuti lanjutan, Cuti Emas, pada awal Mei sempena hari penurunan takhta Maharaja Jepun.

"Cuti Emas lanjutan ini merupakan cuti panjang tahunan lima hingga tujuh hari, namun tahun ini, minggu Emas disambut selama 10 hari sempena

istiadat turun takhta dan istiadat naik takhta Maharaja Jepun pada akhir April apabila kerajaan mengumumkan ia sebagai cuti umum," katanya.

Berikutan cuti panjang, kebanyakan destinasi jarak jauh dan sederhana dijual pada harga yang lebih tinggi dan kebanyakannya telah terlebih dahulu ditempah lebih awal.

Sementara itu, beliau berkata Tourism Malaysia Jepun juga telah mengemas kini media sosial mereka - Instagram, Facebook, Twitter dan blog, dan laman

web rasmi menerusi pelancaran logo Visit Malaysia 2020 (VM2020) baru-baru ini.

"Wakil jualan, ejen dan pemain industri lain diberi taklimat mengenai logo dan digalakkan untuk menggunakannya semasa membuat dan menjual Pakej Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kedutaan dan agensi Malaysia lain di Jepun juga digalakkan untuk menggunakan logo VM2020 setiap kali mereka menjalankan persembahan atau menyertai sebarang aktiviti atau pameran.

"Jepun sentiasa menjadi penyumbang utama kepada ketibaan pelancong ke Malaysia dan dengan VM2020, lebih banyak aktiviti promosi dapat dilakukan untuk menarik lebih ramai rakyat Jepun untuk melawat Malaysia," katanya. - Bernama