Peniaga Pasar Selayang Baru enggan pindah

Sebahagian peniaga pasar Selayang Baru berkumpul meminta aspek teknikal pasar baharu dan pemindahan peniaga diselesaikan.
Sebahagian peniaga pasar Selayang Baru berkumpul meminta aspek teknikal pasar baharu dan pemindahan peniaga diselesaikan.
A
A
A

SELAYANG - Peniaga Pasar Selayang Baru nekad enggan berpindah masuk ke pasar baharu sehingga isu pemilihan peniaga dan teknikal di bangunan tersebut diselesaikan terlebih dahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Peniaga Pasar Selayang Baru, Jumari Talip berkata, memorandum permasalahan pemindahan itu telah dibawa kepada perhatian Menteri Besar, Amirudin Shari dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) baru-baru ini.

Menurutnya, empat isu utama perlu diberikan perhatian oleh MPS dan pemaju sebelum bangunan itu diduduki dijadualkan hujung bulan ini.

"Empat perkara pokok itu adalah masalah teknikal melibatkan sistem saliran, spesifikasi gerai, sistem pendawaian dan sistem keselamatan.

"Tiga perkara lain yang perlu diberikan perhatian adalah kedudukan rumah sampah yang tidak sesuai, sistem keselamatan, bayaran deposit dan bayaran sewa serta penguatkuasaan dengan jaminan tiada lesen dikeluarkan kepada peniaga kaki lima di pasar baharu," katanya selepas membuat bantahan bersama 30 peniaga di hadapan bangunan pasar baharu itu hari ini.

Bangunan pasar baharu yang disediakan pemaju bagi membolehkan tapak pasar sedia ada dimajukan untuk projek pembangunan perumahan.
Bangunan pasar baharu yang disediakan pemaju bagi membolehkan tapak pasar sedia ada dimajukan untuk projek pembangunan perumahan.

Jumari menegaskan, peniaga akur dengan pemindahan itu atas dasar pembangunan namun menolak langkah penyelesaian berhubung isu itu yang dilihat tidak memihak kepada peniaga.

"Kami boleh pindah tapi selesaikan masalah peniaga terlebih dahulu, dengarlah rayuan kami siapkan dahulu bangunan ini kemudian baru pindah dan robohkan pasar lama.

Artikel Berkaitan:

"MPS tidak telus dalam pemilihan peniaga, ada yang berniaga sudah berpuluh tahun tidak diberikan petak, yang tidak pernah berniaga ditawarkan petak," katanya.

Sementara itu, peniaga, Leow Kian Foo, 57, yang berniaga hampir 40 tahun antara yang tidak tersenarai bagi pemindahan ke pasar baharu itu.

"Saya dah buat rayuan, tak pasti diterima atau ditolak, jika ditolak mungkin akan berehat dahulu sebelum fikir berniaga semula.

"Saya berniaga sayur saja, sehari hanya dapat RM60, sekadar cukup makan pakai. Saya juga menyara seorang anak OKU (orang kurang upaya), selama ini hanya berniaga untuk hidup selepas ini tak tahu macam mana, " katanya.

Sinar Harian bertarikh 3 September lalu melaporkan MPS diminta lebih telus dalam isu agihan tapak dan pemindahan peniaga Pasar Selayang Baru ke bangunan pasar baharu selepas hampir separuh permohonan peniaga ditolak.

Kira-kira 400 peniaga mencari rezeki di pasar itu sementara pasar baharu menyediakan 300 petak ruang niaga menyebabkan sekurang-kurangnya 100 peniaga akan dipinggirkan.