UMNO bantah cadangan henti skim pencen

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO menentang sekeras-kerasnya cadangan kerajaan untuk menggantikan skim tetap dan berpencen kepada skim kontrak terhadap perkhidmatan awam di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, sepatutnya kerajaan berusaha mempertingkatkan produktiviti perkhidmatan awam bukannya mengecilkan skala sektor itu.

"Perkhidmatan awam adalah antara yang UMNO dan kita semua perjuangkan sejak sebelum merdeka. Kita mengambilnya kembali dari penjajah Inggeris dan jadikan hak kita, dari kita dan untuk kita.

"Kita pasak ia dalam perlembagaan negara. Ia sebahagian dari hak istimewa kita. Ia harus diperkaya dan diperkukuhkan, bukan dilemah atau diperkecilkan.

"Dalam keadaan khidmat kepada rakyat semakin lemah, tindakan kerajaan umpama tikus membaiki labu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Skim lantikan kontrak ditambahbaik ganti skim latihan tetap, berpencen

Pada masa sama, Annuar berkata, penjimatan bukanlah menjadi alasan terbaik bagi cadangan yang diutarakan itu.

"Kerajaan sepatutnya memperbaiki sistem cukai yang regresif dan mundur ke belakang seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang merugikan negara puluhan bilion.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan perlu berhenti membiakkan 'black economy', pelarian dan ketirisan cukai serta pengaliran wang ke luar negara.

"Berhentilah dari terus membuat preskripsi yang salah, apalagi terus memangsakan institusi dominan anak watan dan Bumiputera yang jujur dan setia berkhidmat," tegasnya.

Tambahnya, kerajaan juga perlu berhenti menjadikan perkhidmatan awam sebagai kambing hitam dengan memangsakan mereka yang tidak bersalah untuk menutup kesalahan diri sendiri.

"Pegawai tinggi perkhidmatan awam juga diminta tidak hanya mengampu dengan bersekongkol menyuburkan dasar yang salah dan turut menekan butang yang salah.

"Perkhidmatan awam kita boleh ditingkatkan dengan menghentikan campur tangan politik, memberi mereka penghormatan pengiktirafan dan motivasi, memodenkan khidmat dengan latihan, inovasi serta dana yang mencukupi," katanya.