Laman rasmi FIFA ‘diserang’ netizen

Laman Facebook rasmi FIFA 'diserang' netizen selepas insiden serangan penyokong Indonesia terhadap penyokong Malaysia di Stadium Bung Karno semalam.
Laman Facebook rasmi FIFA 'diserang' netizen selepas insiden serangan penyokong Indonesia terhadap penyokong Malaysia di Stadium Bung Karno semalam.
A
A
A
SHAH ALAM - Selepas insiden Ultras Malaya diserang penyokong Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno semalam, Facebook rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ‘diserang’ netizen.

Dalam ruangan komen FIFA yang dimuat naik 19 jam lalu, terdapat lebih 30,000 komen netizen dari Malaysia yang membuat aduan berhubung insiden pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 itu.

Malah terdapat juga saranan dengan tanda pagar #bannedIndonesia supaya FIFA menggantung Indonesia dalam setiap perlawanan bola sepak.

“Ke hadapan Presiden, Gianni Infantino. Sila ambil tindakan tegas dan membatalkan penyertaan Indonesia dalam sebarang kejohanan bola sepak.

"Penyokong Indonesia membaling batu kepada penyokong Malaysia dan kejadian ini tidak boleh diterima serta menjejaskan keselamatan penyokong Malaysia di stadium. Perhatian dan kerjasama segera daripada anda amat dihargai,” demikian komen yang ditinggalkan netizen di ruangan komen berkenaan sejak semalam.

Tidak setakat dibaling batu, aksi pada babak kedua turut dicemari insiden penyokong tuan rumah cuba menceroboh ke kawasan penonton Malaysia dan bertindak membaling suar.

Dua penyokong Malaysia dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut dan salah seorang terpaksa diusung keluar dari stadium.

Perlawanan juga terpaksa dihentikan hampir 10 minit susulan kekecohan tersebut.

Sejurus tamat perlawanan, pemain Malaysia terpaksa dibawa menaiki kereta perisai (barracuda) Indonesia untuk pulang ke hotel penginapan bagi mengelak gangguan penyokong tuan rumah.
Artikel Berkaitan:


Kumpulan penyokong Malaysia juga lewat meninggalkan stadium dan dibawa keluar menggunakan bas khas yang disediakan.

Dalam aksi Kumpulan G itu, Malaysia menumpaskan Indonesia, 3-2.