'Ucapan selamat tinggal di hari jadi'

Abdul Rahim yang memakai baju songket Melayu diarak menggunakan 'buggy car' menuju ke pintu utama sekolah sebelum pulang ke rumah hari ini.
Abdul Rahim yang memakai baju songket Melayu diarak menggunakan 'buggy car' menuju ke pintu utama sekolah sebelum pulang ke rumah hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU – Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2, Abdul Rahim Mat Hussin bakal meninggalkan memori indah apabila berkongsi kemeriahan sambutan ulang tahun kelahiran ke-60 serentak dengan majlis persaraan beliau semalam.

Dalam majlis berlangsung di sekolah tersebut, lebih 1,000 warga sekolah berkenaan meraikan majlis berkenaan yang turut diisi dengan pelbagai acara menarik sebagai ucapan selamat tinggal kepada guru kesayangan mereka.

Wakil pelajar, Iman Zulhakim Zulkifli dalam ucapannya memberitahu, ia merupakan saat paling sedih buat warga sekolah kerana terpaksa berpisah dengan seorang guru yang dianggap sebagai 'bapa' atas tunjuk ajar dan sumbangan besar terhadap sekolah dan warganya.

“Cikgu tidak pernah penat beri nasihat, tunjuk ajar, panduan kepada kami dalam segala hal. Bukan itu saja, banyak lagi pengorbanan lain yang tak mampu kami ungkapkan di sini.

“Walau ke mana cikgu pergi, kami sentiasa doakan cikgu sihat dan dipermudahkan segala urusan selepas ini. Terima kasih di atas segala penat lelah dan jasa cikgu selama ini,” katanya.

Abdul Rahim yang mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Lanjutan Bahasa Melayu Moden di Universiti Malaya itu memulakan khidmat di sekolah tersebut pada 20 Disember 2018.

Dilahirkan di Kampung Morat, Palekbang, Kelantan, bapa kepada lapan cahaya mata dan tiga cucu itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Morak dan kini tinggal bersama dua anak selepas kematian isteri, tahun lalu.

Terdahulunya, Abdul Rahim turut merasmikan Bengkel dan Taman Pusat Sumber Pendidikan Khas di sekolah tersebut sebagai tugas terakhir sebagai pengetua.

Artikel Berkaitan:

Abdul Rahim dalam ucapannya juga memberitahu, beliau berharap warga sekolah akan sentiasa berjaya dalam semua bidang dan sentiasa mendoakan kejayaan pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan penting tidak lama lagi.

Sebelum pulang, Abdul Rahim diarak menggunakan ‘buggy car’ sehingga ke pintu utama sekolah dan disambut 15 buah motosikal berkuasa tinggi daripada kumpulan Kelantan Chopper Motor Group dan R25 Kelantan seterusnya membawa beliau pulang ke rumah.