Salah guna sijil halal, dua peniaga dikompaun

Saharuddin (tengah) pada sidang akhbar selepas berakhirnya program Kesedaran Halal Kepada Penjawat Awam: Isu dan cabaran Industri Halal di Dewan Auditorium, JHEAT hari ini
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua peniaga di daerah ini dikenakan kompaun RM400 setiap seorang kerana menggunakan logo halal tanpa kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bulan lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Shaharuddin Mohd Kia berkata, operasi dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) itu dilakukan selepas mendapat aduan orang ramai.

Menurutnya, siasatan awal mendapati peniaga kedai makan dan produk kecantikan itu menampal logo halal pada premis mereka sedangkan tidak pernah membuat permohonan sijil halal daripada JAKIM dan JHEAT.

“Kita adakan penguatkuasaan pematuhan pemakaian logo halal bersama JHEAT dan memakai logo halal tanpa kelulusan persijilan halal merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Dalam kes ini peniaga tidak memohon sijil halal tapi memakai logo halal dan kita terus keluarkan kompaun serta merta. Kes ini masih dalam siasatan dan penguatkuasaan ini sebenarnya lebih kepada usaha mendidik peniaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Kesedaran Halal Kepada Penjawat Awam: Isu dan cabaran Industri Halal, di sini hari ini.

Program bermula jam 8.30 pagi itu disertai kira-kira 200 peserta terdiri daripada penjawat awam.

Sehubungan itu, Saharuddin menasihati para peniaga supaya memastikan setiap logo halal yang digunakan pada premis dan produk mereka mendapat kelulusan dari JAKIM dan JHEAT bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

“Kita akan terus bekerjasama dengan JHEAT memantau dan menjalankan penguatkuasaan supaya peniaga mematuhi peraturan,” katanya.