Jerebu kembali landa bandaraya Miri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MIRI - Jerebu kembali melanda bandaraya Miri awal pagi ini, setelah seminggu masalah itu reda, berpunca daripada pembakaran terbuka tidak terkawal di sini yang berlaku sejak semalam.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata, antara kawasan yang terjejas akibat jerebu pada awal pagi ini ialah di Permyjaya, Lutong, Taman Tunku dan sekitar Miri.

“Kawasan lain turut terjejas ialah perumahan Vista Perdana,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini sambil menambah, dalam rondaan pemantauan yang dibuat semalam, pembakaran terbuka dikesan dilakukan oleh penduduk berhampiran untuk tujuan pertanian.

Law berkata, antara lokasi yang dikesan melakukan pembakaran terbuka semalam ialah di kawasan berhampiran dengan padang golf sebuah hotel terkenal di sini yang dipercayai dibakar oleh penduduk berhampiran untuk membesarkan kebun dan di depan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri.

Pada 25 Ogos lepas, Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri dengan bantuan pelbagai agensi serta syarikat korporat telah berjaya memadamkan kebakaran tanah gambut serta hutan di Kuala Baram setelah masalah tersebut menyebabkan jerebu di kawasan berkenaan dan dua sekolah rendah di sana terpaksa ditutup berikutan kebakaran berlarutan selama lebih dua minggu.

Untuk rekod, setakat pukul 9 pagi ini bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Miri mencatat bacaan 146 iaitu tidak sihat manakala IPU di ILP Miri serta Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2, Miri masing-masing mencatat bacaan 98 dan 66 iaitu sederhana.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Mejar Ismail Mahedin daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak dalam satu kenyataan pagi ini berkata, berdasarkan laporan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), tiada titik panas (hotspot) dikesan di Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, setakat ini hanya 129 titik panas dikesan di Indonesia iaitu 114 di Kalimantan dan 15 di Sumatera, jerebu dari Kalimantan pula telah dikesan bergerak ke arah Sarawak.

Tinjauan Bernama awal pagi ini mendapati masalah jerebu tidak menjejaskan sesi persekolahan di bandar di sini terutama sekali murid-murid Tahun Enam yang menduduki peperiksan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini.- Bernama