Veterinar Sarawak rampas 126kg produk babi

Jabatan Perkhidmatan Veterinar
Jabatan Perkhidmatan Veterinar
A
A
A

KUCHING – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) telah merampas 126kg produk babi daripada pengunjung yang memasuki negeri ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Rampasan itu dibuat di bawah Ordinan Kesihatan Awam 1999 bagi mempastikan babi dan produk babi yang dibawa masuk ke negeri ini bebas daripada penyakit African Swine Fever (ASF).

"Sunggupun belum ada kes ASF yang dilaporkan di negeri ini namun DVSS bertanggungjawab mempastikan Sarawak terus bebas daripada ASF,” menurut jabatan itu dalam satu kenyataan.

Bahagian Kawalan dan Seliaan DVVS akan terus memastikan babi dan produk babi hanya diimport dari negara yang bebas ASF.

“Semua import memerlukan permit. Sesiapa yang didapati menyeludup babi dan produk babi akan dikenakan hukuman berat,” menurut kenyataan itu lagi.

Buat masa ini Malaysia masih bebas daripada penyakit ASF, namun wabak ini dilaporkan terdapat di beberapa negara jiran seperti China, Vietnam, Laos dan Korea Utara.

Sehingga 20 Jun 2019, enam wabak ASF dilaporkan di Asia iaitu China, Mongolia, Vietnam, Kemboja, Korea Utara dan Laos.

Di Vietnam, wabak ASF pertama dilaporkan pada 19 Februari lalu dan sehingga kini 2.5 juta ekor babi telah dimusnahkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: