Dua balai bomba baharu di Pengerang

Yahaya (depan, kanan) ketika hadir Majlis Penyerahan Projek BBP Sungai Rengit dan Sebana Cove, Pengerang hari ini.
Yahaya (depan, kanan) ketika hadir Majlis Penyerahan Projek BBP Sungai Rengit dan Sebana Cove, Pengerang hari ini.
A
A
A

KOTA TINGGI - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerima dua lagi balai baharu iaitu di Sungai Rengit dan Sebana Cove di Pengerang.

Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Rengit merupakan balai ke-31 dibina di Johor sementara BBP Sebana Cove kelas C adalah ke-32.

"Sebelum ini ada BBP Punggai yang telah diterima hujung tahun lalu. Sebelum ini kawasan ini direspons oleh BBP Bandar Penawar di mana jarak untuk ke Pengerang adalah 45 kilometer.

"Adanya tambahan dua lagi BBP termasuk di Punggai menjadikan tiga ia akan membantu bomba untuk memendekkan masa ke tempat kecemasan sama ada di kawasan perindustrian di Pengerang dan kawasan sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir Majlis Penyerahan Projek BBP Sungai Rengit dan Sebana Cove, Pengerang di sini hari ini.

Yahaya berkata, BBP Sebana Cove sudah ada penjawatan sementara Sungai Rengit masih belum lagi namun akan meletakkan pegawai-pegawai serta peralatan kebombaan di balai berkenaan.

"Dari segi kenderaan sudah ada cuma perjawatan akan disusun. Kita masih menunggu penempatan dilakukan difahamkan ada pegawai bomba baru yang kini sedang jalani latihan di akademi bomba hampir 1,000 orang seluruh Malaysia.

"Apabila tamat latihan sebahagian mereka akan ditempatkan di Johor. Bagi BBP Sebana Cove dijangka akan dapat beroperasi dalam sebulan dua begitu juga BBP Sungai Rengit," katanya.

Tambahnya, terdapat sebuah lagi BBP yang sedang dalam pembinaan iaitu di Bandar Tenggara yang dijangka siap awal tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Beliau yakin dengan adanya penambahan balai bomba itu, JBPM Johor akan dapat mencapai purata respons masa menghampiri 10 minit di seluruh negeri Johor.

"Tujuan pembinaan BBP diambil kira bukan berdasarkan jumlah taburan penduduk tetapi dilihat dari segi kedudukan BBP untuk respons masa yang kebanyakan lebih 10 minit.

"Kepadatan penduduk bukan keutamaan tetapi lebih kepada kawasan yang berisiko," katanya.