Guru anjur parti liar tak mengaku miliki dadah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang guru yang sebelum ini dilapor menganjurkan sebuah parti liar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki dadah berbahaya pada sambutan Hari Kemerdekaan lalu.

Tertuduh, Farid Abdullah, 34, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Rahni Kartini Abd Rahim.

Mengikut pertuduhan pertama, Farid didakwa memiliki dadah berbahaya jenis nimetazepam (erimin) berat kasar 1.55 gram manakala pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki 3, 4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (ekstasi) anggaran berat 0.74 gram.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit apartmen di The Scott Garden, Jalan Klang Lama di sini pukul 3.30 pagi, 31 Ogos lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatin Mohamad Farid kemudian menawarkan jaminan RM8,000, namun dia yang tidak diwakili peguam merayu agar diberikan jaminan rendah.

Majistret kemudian membenarkan jaminan RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Oktober sebagai sebutan semula.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, media melaporkan seorang guru sekolah rendah ditahan di sebuah rumah kerana disyaki menganjurkan parti liar di situ pada Hari Merdeka lalu.