GMIM mohon maaf, kes saman fitnah Khalid Samad selesai

Wan Asshima dan Khalid
Wan Asshima dan Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes saman fitnah antara Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad terhadap Presiden Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM), Wan Asshima Kamaruddin berhubung kenyataan yang dikeluarkannya di Facebook berhubung penganjuran pesta gay di Kuala Lumpur selesai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini sebentar tadi.

Kes saman itu selesai secara baik, selepas Wan Asshima, 35, selaku defendan memohon maaf dengan membacakan permohonan maaf terhadap Khalid, 62, selaku plaintif dan direkodkan oleh Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.

Menerusi kenyataan maaf itu, Wan Asshima mengakui kesilapan fakta di dalam video yang diterbitkan menerusi video dalam akaun Facebook beliau pada 18 Ogos 2018.

"Saya menyesali bahawa tuduhan saya tanpa bukti dan tidak berasas menyebabkan kesusahan, kehinaan dan ketidakselesaan terhadap Menteri Wilayah Persekutuan dan mengambil peluang ini untuk membetulkan kesalahan saya," katanya.

Oleh itu, kata Wan Asshima beliau menarik balik tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas bahawa Khalid telah meluluskan dan menganjurkan pesta gay yang besar di Kuala Lumpur.

Selain itu Wan Asshima juga memohon maaf kerana telah mempersoalkan, mencabar dan menuduh Khalid dan keluarganya untuk membuktikan mereka tidak mengamalkan gaya hidup golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Selepas selesai membaca kenyataan itu, Khalid bersetuju dengan permohonan maaf yang dibuat oleh Wan Asshima.

Dalam pada itu sejurus permohonan maaf dibuat, Nik Hasmat menasihati defendan supaya lebih berhati-hati dalam memuat naik sebarang kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengingatkan supaya perkara itu dijadikan iktibar dan tidak diulangi lebih-lebih lagi melibatkan orang yang dikenali.

Khalid turut hadir diwakli peguam Ahmad Affendi Mohd. Nasir manakala Wan Asshima diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud.

Sementara itu, Ahmad Affendi ketika ditemui selepas tamat prosiding berkata, Wan Asshima perlu membuat permohonan maaf dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang perlu dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya mulai hari ini.

Pada 13 September tahun lepas, Khalid menyaman Wan Asshima selepas mendakwa defendan pada 18 Ogos tahun lepas dengan sengaja merakam, memuat naik dan/atau menerbitkan sebuah video yang mengandungi kata-kata fitnah dalam laman Facebook miliknya yang boleh dicapai di https://www.facebook.com/wanasshima, yang secara langsung merujuk kepada Khalid kerana nama dan jawatannya telah disebut secara spesifik.

Mengikut penyataan tuntutan, Khalid, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, mendakwa kata-kata fitnah berkenaan antara lain membawa maksud bahawa plaintif telah mengiktiraf dan mengiyakan kedudukan LGBT di Malaysia, menaik taraf serta melindungi hak golongan itu kerana berjaya menganjurkan dan meluluskan pesta gay yang terbesar di Kuala Lumpur sempena bulan Merdeka.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) itu mendakwa rakaman itu juga menyatakan bahawa beliau atas kapasiti sebagai menteri, pemimpin Amanah dan individu telah mencabuli hak asasi manusia beragama Islam, mencabuli undang-undang dan peraturan agama Islam yang termaktub dalam al-Quran dan sunnah, menghina kedudukan agama Islam serta menggugat kedudukan wanita beragama Islam apabila menghalalkan dan/atau meluluskan pesta gay terbesar di Kuala Lumpur.

Khalid menegaskan tindakan defendan memuat naik dan/atau menerbitkan kata-kata fitnah itu suatu yang disengajakan, dibuat tanpa sebarang usul periksa dan dengan niat jahat bagi mendorong orang ramai khususnya umat Islam membenci beliau dan oleh itu plaintif menuntut perintah ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau daripada defendan.

Plaintif turut memohon defendan menerbitkan permohonan maaf melalui satu video untuk dimuat naik dalam laman Facebook defendan dan secara bertulis untuk diterbitkan di dalam akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian dalam masa 48 jam daripada tarikh perintah ke atas writ saman itu dalam bentuk dan istilah yang dipersetujui oleh plaintif dan defendan hendaklah bertanggungjawab menanggung segala kos penerbitan permohonan maaf itu.