Isu agama, bangsa, institusi diraja sengaja disensasikan

Muhyiddin (kiri) menyampaikan Pingat Perkhidmatan Cemerlang KDN 2019 kepada Pembantu Tadbir Jabatan Pengurusan Bukit Aman Anuar Mamat (kanan) pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin (kiri) menyampaikan Pingat Perkhidmatan Cemerlang KDN 2019 kepada Pembantu Tadbir Jabatan Pengurusan Bukit Aman Anuar Mamat (kanan) pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Isu melibatkan agama, bangsa dan institusi diraja sengaja disensasikan bertujuan menggugat kerajaan baharu supaya dilihat tidak melindungi ketiga-tiga aspek tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu tersebut semakin hangat apabila tindakan kerajaan dipertikaikan seolah-olah gagal melaksanakan fungsinya dengan baik.

Menurutnya, agensi penguat kuasa memainkan peranan penting dalam memberi kefahaman kepada rakyat untuk tidak menyebarkan maklumat tidak benar.

“Isu penyebaran berita palsu boleh menjejaskan keselamatan negara serta perpaduan rakyat. Ia umpama duri dalam daging yang meresahkan ramai pihak.

“Kerajaan tidak menyekat hak bersuara rakyat namun maklumat yang dikongsi perlulah disahkan kebenarannya,” katanya dalam ucapan pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak membangkitkan isu sensitif hingga menjejaskan keharmonian kaum dan agama.

“Kita tidak mahu penyebaran berita palsu ini menimbulkan benci dan fitnah sehingga rakyat merusuh.

“Polis juga perlu dilihat lebih tegas dalam mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba mengeruhkan keadaan dalam negara.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan yang diambil perlu adil tanpa mengira siapa atau latar belakang individu yang cuba memainkan isu sensitif dengan bertujuan memporak-perandakan negara,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, sejarah membuktikan keutuhan perpaduan dicapai melalui persefahaman dalam kalangan masyarakat yang mempunyai kepelbagaian.

“Kepelbagaian ini seharusnya terus dihormati dan diraikan. Justeru, kita menolak sebarang bentuk tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Ia tidak mencerminkan kematangan bahkan ia jelas bertentangan prinsip hidup dalam sebuah negara berdemokrasi,” katanya.

Muhyiddin berkata, perbezaan itu bukanlah satu penghalang malah satu kekuatan untuk terus bersama memandangkan setiap kaum mempunyai kelebihan dan keupayaan masing-masing.