X

Kindly register in order to view this article
!

Penyokong bola sepak (Gambar kecil,Santokh Singh)
A
A

SIAPA yang pernah lupa dengan skuad bola sepak generasi emas 1980 yang layak ke Olimpik? Diketuai Soh Chin Aun, maruah Malaysia ketika itu turut digalas beberapa bintang seperti Santokh Singh, Hassan Sani, R. Arumugam, James Wong dan Bakri Ibni.

Siapa juga yang bisa melupakan skuad badminton negara yang menghadiahkan Piala Thomas buat Malaysia pada tahun 1992. Skuad itu dibarisi anak-anak Sidek, Foo Koo Keong, Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang.

Pada era milenium ini nama jagoan sukan seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Azizulhasni Awang dan Pandelela Rinong turut harum di pentas antarabangsa.

Lee Chong Wei
Lee Chong Wei

Yang pasti, sukan bukan semata-mata pentas persaingan atlet mana yang paling kuat dan hebat.

Tanpa kita sedari, sukan sejak sekian lama telah menjadi ejen perpaduan paling berjaya dalam menyatukan rakyat sesuatu negara tidak terkecuali di Malaysia.

Lihat sahaja bagaimana apabila kejayaan ahli sukan diiringi dengan berkibarnya Jalur Gemilang, berdendangnya lagu Negaraku dan lebih hebat seluruh stadium bergema dengan sorakan pelbagai lapisan kaum.

B Sathianathan
B Sathianathan

Bagi bekas pengendali Harimau Malaya, B. Sathianathan, sewaktu masyarakat bercakap soal bola sepak atau menontonnya, semua sempadan diri tersingkir dengan sendiri kerana mereka fokus kepada perkara yang sama diminati.

"Dalam pasukan bola sepak itu sendiri terdiri daripada pemain pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India. Kemudian masyarakat berbilang bangsa hadir ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan bola sepak setiap kali perlawanan.

"Misalnya ketika Malaysia bertemu Thailand pada kejohanan AFF dan Sukan SEA di negara ini dahulu. Pelbagai bangsa dan kaum datang ke stadium yang secara langsung menunjukkan kehadiran semangat kenegaraan yang tinggi.

"Lebih manis pemain-pemain juga daripada pelbagai bangsa," katanya memberikan pandangan.

Ketua Jurulatih Selangor itu berkata, selain bola sepak tidak lupa juga sukan seperti badminton, sepak takraw dan bola keranjang yang boleh mendorong memupuk penyatuan bangsa di negara ini.

Secara peribadi anak kelahiran Perak itu berkata, beliau melihat perkara itu sejak remaja misalnya ketika mewakili sekolah dalam sukan sepak takraw dahulu.

"Saya mewakili sekolah pada tahun 1970 hingga 1975 dalam sukan sepak takraw dan saya terpilih kerana pasukan itu perlu terdiri daripada pemain Melayu, Cina dan India. Kami berlatih bersama-sama. Secara tak langsung saya sebagai bangsa India bergaul mesra dengan pemain lain terdiri daripada pemain Melayu dan Cina. Bagi saya, situasi seperti inilah yang dikatakan mendorong penyatuan bangsa melalui sukan," katanya.

Skuad badminton negara meraikan kemenangan Piala Thomas pada tahun 1992.
Skuad badminton negara meraikan kemenangan Piala Thomas pada tahun 1992.

Sementara itu, bekas pemain perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek berkata, beliau kagum melihat semangat penyokong, secara tidak langsung memberi motivasi kepada pemain sewaktu beraksi mewakili negara.

“Sorakan penyokong turut membantu pasukan negara merangkul Piala Thomas pada 1992. Penyokong yang terdiri daripada pelbagai kaum itu mengikut rentak ketua sorak mereka memberi sorakan.

“Saya dapat melihat semangat Malaysia melalui sorakan itu yang mahu pasukan kebangsaan menang dalam pertandingan itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Rashid
Rashid

Lebih manis Rashid mengakui, Foo Kok Keong merupakan rakan baiknya ketika sesi latihan.

“Kita memberi sokongan dalam satu sama lain, kita anggap pasukan ini sebagai satu keluarga, selepas latihan saya meluangkan masa minum dan makan bersama dengan mereka,” katanya.

Beliau berharap masyarakat pelbagai kaum ini dapat terus bersatu dan menjaga keharmonian negara.

“Kita harus mengekalkan perpaduan dan saling bekerjasama untuk mencapai satu matlamat,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!