Gangguan sistem KLIA: Pembekal sistem akan dipanggil

Operasi di kaunter daftar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali normal hari ini selepas mengalami kegagalan peralatan rangkaian Rabu lepas. - Foto Bernama
Operasi di kaunter daftar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali normal hari ini selepas mengalami kegagalan peralatan rangkaian Rabu lepas. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil vendor yang membekal sistem rangkaian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan rangkaian operasi di terminal berkenaan minggu lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah berkata, siasatan masih dijalankan untuk polis melengkapkan siasatan.

"Setakat ini kita sudah merakam keterangan 12 individu terdiri daripada kakitangan dan jurutera Malaysia Airports Berhad (MAHB).

“Siasatan masih berjalan, kita sudah panggil mereka yang berkenaan untuk dirakam keterangan," katanya.

Tambahnya, pihaknya perlu mendapatkan penilaian daripada pihak yang pakar dalam bidang berkaitan kerana ia membabitkan isu teknikal.

Gangguan sistem di KLIA mula dikesan sejak 21 Ogos lalu berpunca daripada masalah sistem pelayan KLIA sekali gus menyebabkan banyak jadual penerbangan mengalami kelewatan.

Sistem di KLIA kemudian dilaporkan pulih selepas empat hari mengalami gangguan.

Jumaat lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, insiden gangguan sistem di KLIA adalah isu besar yang perlu disiasat dan semua pihak termasuk pengendali lapangan terbang diminta tidak membuat apa-apa andaian.

Artikel Berkaitan:

Beliau meminta semua pihak memberi ruang kepada polis dan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan Total Airport Management System (TAMS) KLIA menjalankan siasatan terhadap insiden itu.

Anthony Loke mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan TAMS KLIA pada 26 Ogos lepas susulan gangguan sistem di lapangan terbang itu yang menyebabkan pembatalan dan kelewatan penerbangan serta ketidakselesaan kepada penumpang selama beberapa hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Gangguan sistem KLIA, lapan individu dipanggil polis

ARTIKEL BERKAITAN: KLIA: Isu perlu disiasat, henti buat andaian - Anthony Loke