KLIA: Isu perlu disiasat, henti buat andaian - Anthony Loke

Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali normal hari ini selepas mengalami kegagalan peralatan rangkaian sejak Rabu lepas. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Insiden gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah isu besar yang perlu disiasat dan semua pihak termasuk pengendali lapangan terbang diminta tidak membuat apa-apa andaian, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau meminta semua pihak agar memberi ruang kepada pihak polis dan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan Total Airport Management System (TAMS) KLIA menjalankan siasatan terhadap insiden itu.

"Kita tak mahu membuat apa-apa spekulasi kerana ini isu besar. Perkara ini kita tidak boleh buat andaian sahaja sebab ini melibatkan pintu masuk utama negara, ikon dan satu tempat yang sangat strategik untuk negara.

"Jadi apa-apa yang berlaku di sana patut disiasat dengan terperinci dan saya tidak mahu mana-mana pihak, termasuk pengendali lapangan terbang, membuat apa-apa andaian," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Anthony Loke mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan TAMS KLIA pada 26 Ogos lepas susulan gangguan sistem di lapangan terbang itu sejak 21 Ogos sehingga menyebabkan pembatalan dan kelewatan penerbangan serta ketidakselesaan kepada penumpang selama beberapa hari.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Raja Azmi Raja Nazuddin dalam kenyataannya pada Isnin lepas dilaporkan tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA disebabkan perbuatan berniat jahat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kegagalan sistem KLIA, MAHB buat laporan polis

Malaysia Airports juga dilaporkan telah membuat laporan polis susulan insiden gangguan sistem itu pada Selasa lepas.

Anthony Loke berkata jawatankuasa itu diberi tempoh sebulan bagi menjalankan siasatan termasuk memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan.

"Mereka bekerja sepanjang masa, setiap hari ada meeting (mesyuarat), ada siasatan," katanya.

Katanya jawatankuasa itu menjalankan siasatan dari sudut mengenal pasti punca sebenar insiden dan mencadangkan langkah penambahbaikan bagi mengelak insiden itu berulang pada masa depan.

Menurutnya, pihak polis pula menjalankan siasatan berasingan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur-unsur jenayah dalam insiden itu dan mengambil tindakan selanjutnya. - Bernama