Gangguan sistem KLIA, lapan individu dipanggil polis

Operasi di kaunter daftar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali normal hari ini selepas mengalami kegagalan peralatan rangkaian sejak Rabu lepas. - Foto Bernama
Operasi di kaunter daftar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali normal hari ini selepas mengalami kegagalan peralatan rangkaian sejak Rabu lepas. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Polis telah mengambil keterangan lapan individu berhubung siasatan kes gangguan rangkaian operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, lapan individu yang diambil keterangan itu termasuk empat jurutera perisian bahagian teknologi maklumat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

"Siasatan kes masih lagi berjalan dan kemungkinan ada lagi individu yang akan dipanggil bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Gangguan sistem di KLIA mula dikesan sejak 21 Ogos lalu berpunca daripada masalah sistem pelayan KLIA sekaligus menyebabkan banyak jadual penerbangan mengalami kelewatan.

Sistem di KLIA kemudian dilaporkan pulih selepas empat hari mengalami gangguan.

Hari ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook. berkata, insiden gangguan sistem di KLIA adalah isu besar yang perlu disiasat dan semua pihak termasuk pengendali lapangan terbang diminta tidak membuat apa-apa andaian.

Beliau meminta semua pihak agar memberi ruang kepada pihak polis dan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan Total Airport Management System (TAMS) KLIA menjalankan siasatan terhadap insiden itu.

"Kita tak mahu membuat apa-apa spekulasi kerana ini isu besar. Perkara ini kita tidak boleh buat andaian sahaja sebab ini melibatkan pintu masuk utama negara, ikon dan satu tempat yang sangat strategik untuk negara.

Artikel Berkaitan:

"Jadi apa-apa yang berlaku di sana patut disiasat dengan terperinci dan saya tidak mahu mana-mana pihak, termasuk pengendali lapangan terbang, membuat apa-apa andaian," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Anthony Loke mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan TAMS KLIA pada 26 Ogos lepas susulan gangguan sistem di lapangan terbang itu sejak 21 Ogos sehingga menyebabkan pembatalan dan kelewatan penerbangan serta ketidakselesaan kepada penumpang selama beberapa hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Kegagalan sistem KLIA, MAHB buat laporan polis