Pencemaran udara: Langkah pencegahan sebelum UPSR bermula

Md Yunan (kanan) dan Mohd Senin (dua, kanan) bersama dua guru dari Korea Selatan sempena Program Komtep di SKTBD.
Md Yunan (kanan) dan Mohd Senin (dua, kanan) bersama dua guru dari Korea Selatan sempena Program Komtep di SKTBD.
A
A
A

PASIR GUDANG - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang bersiap sedia mengambil beberapa langkah pencegahan berhubung insiden pencemaran udara yang berlaku sebelum ini bagi menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan bermula Rabu ini.

Timbalan PPD Pasir Gudang, Md Yunan Abd Majid berkata, berikutan itu 12 buah sekolah kebangsaan yang menjadi titik panas insiden pencemaran udara di kawasan ini akan diberi fokus.

"Menjelang peperiksaan UPSR tahun ini, kita telah sediakan beberapa langkah pencegahan.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan meletakkan pegawainya berserta peralatan yang perlu di sekolah 'hotspot' bagi memastikan bacaan kualiti udara yang bermula hari ini sehingga tamat tempoh peperiksaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pertukaran Guru Korea Malaysia (Komtep) yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia (SKTBD), di sini hari ini.

Komtep dianjurkan secara tahunan sejak 2014 yang mana 10 orang guru dari Korea Selatan akan berkhidmat di sini manakala 10 orang guru dari Malaysia akan berkhidmat di negara tersebut selama tiga bulan.

Hadir sama Penolong Pengarah Pengurusan Bakat JPN negeri, Sulaiman Basir dan Guru Besar SKTBD, Mohd Senin Kassim.

Md Yunan berkata, selain itu, murid darjah satu hingga lima di 12 sekolah kebangsaan terlibat akan diberi cuti sepanjang peperiksaan itu berlangsung sebagai langkah pencegahan lain.

Artikel Berkaitan:

"Dalam tempoh itu, murid darjah enam yang menduduki peperiksaan hanya akan menggunakan kelas di aras bawah sebagai bilik peperiksaan mereka," katanya.

Dalam pada itu, dua guru sekolah rendah dari Korea Selatan teruja untuk mencurah khidmat bakti kepada murid-murid SKTBD selama tiga bulan menerusi program berkenaan bermula hari ini.

Mereka adalah Lee Kyeong Hun dan Choe Jong Hyeon yang merupakan antara 10 guru dari Korea Selatan yang menyertai program.

Menurut Kyeong Hun, dia telah melakukan beberapa persediaan termasuk belajar bahasa Melayu.

"Saya akan mengajar subjek Bahasa Inggeris dan sukan. Saya juga sudah bersedia untuk bekerjasama dengan sekolah dan murid-murid untuk belajar kepelbagaian budaya antara satu sama lain," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran Pasir Gudang: Lagi kes murid loya, muntah