Kes Zakir Naik: Polis masih menunggu arahan Pejabat Peguam Negara

Zakir Naik
Zakir Naik
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis masih menunggu keputusan dan arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara berhubung kes melibatkan kenyataan pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik yang menyentuh kaum India dan Cina baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Huzir Mohamed berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Zakir serta beberapa saksi telah dipanggil memberi keterangan.

Menurutnya, kes pertama berkaitan kenyataan pendakwah itu mendakwa bangsa India di Malaysia tidak menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kes kedua pula berkaitan kenyataan beliau meminta kaum Cina untuk keluar dari Malaysia.

“Dr Zakir Naik dan beberapa saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan. Kertas siasatan telah ditaklimatkan kepada Pejabat Peguam Negara dan pihak polis masih menunggu keputusan dan arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Huzir memaklumkan beberapa saksi telah dipanggil berhubung kenyataan lima individu yang membuat kenyataan menyebabkan keresahan dan kemarahan orang ramai terhadap Zakir.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan. Beberapa orang saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan dan kes akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan nasihat serta arahan lanjut,” ujarnya.

Kenyataan pendakwah dari India itu baru-baru ini menimbulkan kemarahan masyarakat India dan Cina di Malaysia sehingga ada pihak mendesak kerajaan menghantar beliau pulang ke negara asalnya.

Begitupun, Dr Mahathir berulang kali menegaskan pendakwah itu perlu kekal di Malaysia dan turut melahirkan kebimbangan sekiranya Zakir dibunuh andainya diserahkan kepada India.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, Malaysia tetap kekal dengan pendirian sebelum ini walaupun desakan mahukan beliau dihantar pulang ke India cukup kuat.

“Pada saat ini pendirian kita tidak berubah,” katanya pada sidang akhbar di Perbadanan Putrajaya pada 22 Ogos lepas.

ARTIKEL BERKAITAN: Hantar pulang keluarga Turki tak sama dengan kes Zakir