Sukan wadah eratkan perpaduan 1Malaysia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SUKAN merupakan medium perpaduan yang paling berkesan dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Tanpa mengira bentuk sukan yang menjadi pilihan sama ada bola sepak, badminton, olahraga dan bermacam-macam lagi aktiviti sukan, rata-rata penggemarnya mampu mengeratkan hubungan silaturahim.

Setiap kali skuad negara bertarung di persada antarabangsa, pastinya rakyat pelbagai bangsa bersatu dalam memberikan sokongan padu kepada atlet negara yang berjuang di gelanggang sukan.

Bahkan ada yang sanggup mengeluarkan belanja dan meredah perjalanan beribu kilometer atau setidak-tidaknya sekadar menjadi penyokong setia di kaca televisyen demi sokongan padu kepada atlet negara tanpa mengira bangsa mereka.

Di sini kita dapat melihat betapa besarnya peranan sukan dalam memastikan perpaduan antara kaum terus utuh selepas Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-62 dua hari lalu.

Walaupun perpaduan antara kaum sejak kebelakangan ini cuba ‘dijentik’, namun keutuhannya masih lagi dapat dilihat sebagai contoh pada aksi perlawanan persahabatan Harimau Malaya bertemu Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil Jumaat lalu.

Lebih 14,000 penyokong daripada pelbagai kaum hadir memberikan sokongan padu buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe meskipun perlawanan itu berkesudahan dengan Malaysia tumpas 0-1.

Pada perlawanan itu, apa yang dapat kita lihat bahawa semangat perpaduan bukan sahaja hadir daripada penyokong sendiri bahkan turut ditonjolkan skuad Harimau Malaya yang dibarisi pemain pelbagai kaum dengan mempamerkan semangat juang tinggi demi memburu kemenangan.Rasa kasih sayang

Artikel Berkaitan:

Malah, legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei turut mahukan rakyat Malaysia menyebarkan rasa kasih sayang dan bukannya membunuh keunikan kehidupan berbilang kaum dengan isu-isu remeh.

Chong Wei yang berusia 36 tahun mahu rakyat Malaysia tidak membiarkan isu-isu remeh atau mana-mana kumpulan kecil yang menyebarkan kebencian kaum untuk merosakkan negara.

“Kita orang Malaysia lepak sekali, menjaga antara satu sama lain tanpa mengira kaum. Kita bersorak untuk Malaysia. Adakah kita akan berhenti lakukannya hanya kerana satu suara tidak dikenali?

“Rakyat Malaysia adalah lebih besar daripada itu. Tunjukkan kita jauh lebih teguh daripada semua yang merepek ini. Sebarkan kasih sayang dan bukannya kebencian!” katanya.

Pastinya apa yang disuarakan legenda badminton negara itu turut menjadi harapan rakyat Malaysia yang mahu meneruskan keharmonian hidup dalam masyarakat berbilang bangsa buat selama-lamanya.Usaha memelihara perpaduan kaum melalui sukan tidak terhenti di situ sahaja apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini turut mengharapkan agar sukan dapat dimartabatkan oleh semua pihak sekali gus merapatkan hubungan sesama kaum.

Katanya, apabila sukan dapat menyatukan rakyat, kita akan dapat menghapuskan tembok politik perkauman dan agama.

“Sukan bukan sahaja untuk kita lihat dan nikmati, tetapi jauh lebih besar kerana sukan adalah ejen perpaduan yang akan menyatukan kita semua.

"Jadi rakyat Malaysia perlu bangga dengan negara ini dan bangga dengan Jalur Gemilang,” katanya.

Jelaslah bahawa sukan adalah platform perpaduan di negara pelbagai budaya seperti Malaysia kerana secara tidak langsung ia menggalakkan orang ramai melupakan perbezaan kaum atau prasangka sesama sendiri.

Sebaliknya mereka bersama-sama memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan dan atlet-atlet negara dalam apa jua peringkat kejohanan.

Apa yang pasti semangat persaudaraan dan keakraban antara rakyat berbilang bangsa di negara ini akan terus disemarakkan menjelang dua acara sukan tumpuan.

Khamis ini, skuad Harimau Malaya akan mengharungi aksi pembukaan Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta dan temasya Sukan SEA Filipina 2019 pada November depan.

Sama ada anda penyokong, penggiat atau atlet sukan, tidak kira apa latar belakang masing-masing maka usaha untuk memupuk dan memperkukuhkan semangat nasionalisme, integrasi sosial, saling menghormati dan toleransi seharusnya dikekalkan bukan sahaja di dalam gelanggang bahkan juga di luar gelanggang.