Tragedi Sungai Lembing: Agensi kerajaan akan beri bantuan terbaik

Abu Bakar ketika meninjau kawasan penempatan penduduk yang terbakar, hari ini.
Abu Bakar ketika meninjau kawasan penempatan penduduk yang terbakar, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Agensi kerajaan sedang berusaha membantu mangsa kebakaran yang terlibat dalam kejadian yang meragut nyawa sepasang suami isteri dan memusnahkan 33 rumah kongsi setingkat, 19 rumah kedai dua tingkat dan sebuah perpustakaan dalam kejadian awal pagi semalam.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya berkata, beliau percaya agensi kerajaan sedang melakukan kajian dan akan memberikan bantuan sewajarnya kepada mangsa.

"Tidak ada sesiapa pun yang mengharapkan kejadian seumpama ini berlaku.

“Sungguhpun begitu, kita harapkan semua mangsa bersabar dan percaya semua agensi kerajaan sedang berusaha sedaya mungkin untuk membantu mereka," katanya.

Abu Bakar ketika meninjau mangsa di pusat penempatan sementara di SJKC Sungai Lembing, hari ini.
Abu Bakar ketika meninjau mangsa di pusat penempatan sementara di SJKC Sungai Lembing, hari ini.

Abu Bakar berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tempat kejadian kebakaran serta meninjau mangsa-mangsa yang ditempatkan sementara di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Lembing, di sini hari ini.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus serta pimpinan Pakatan Harapan (PH) Pahang serta pimpinan PPBM Bahagian Paya Besar.

Mengulas lanjut mengenai tinjauannya di lokasi kejadian hari ini, Abu Bakar yakin pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain agensi kerajaan yang berkaitan telah menjalankan peranan yang terbaik bagi menjaga kebajikan penduduk di kawasan itu khususnya kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Abu Bakar turut menyampaikan bantuan mewakili Perdana Menteri bagi meringankan beban mangsa termasuklah kepada ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia.

Sebanyak 33 rumah kongsi setingkat, 19 rumah kedai dua tingkat dan sebuah perpustakaan awam musnah dalam kebakaran di pekan Sungai Lembing kira-kira jam1.30 pagi semalam.

Kejadian itu dilapor turut mengorbankan dua mangsa dipercayai suami isteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Identiti suami isteri maut kebakaran dikenal pasti

Seorang mangsa kebakaran ditemukan rentung