Identiti suami isteri maut kebakaran dikenal pasti

Sebanyak 31 bangunan di Sungai Lembing yang terlibat dalam kejadian berkenaan. - Foto Bernama
Sebanyak 31 bangunan di Sungai Lembing yang terlibat dalam kejadian berkenaan. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Identiti pasangan suami isteri yang disyaki rentung dalam kebakaran besar di Sungai Lembing di sini, awal pagi tadi sudah dikenal pasti.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata, mangsa ialah Ho Yok Fun, 74, dan isterinya Chow Kim Mui, 70, yang dipercayai terperangkap di dalam rumah semasa kebakaran berlaku.

Beliau berkata difahamkan pasangan itu tinggal berdua di situ kerana mengusahakan kedai makan, manakala empat anak mereka sudah bekerja di luar Sungai Lembing.

"Bagaimanapun, setakat ini kita hanya menjumpai satu mayat dalam keadaan rentung di bahagian hadapan rumah mereka. Kita percaya mayat itu adalah wanita kerana memakai barangan perhiasan.

"Namun begitu, kita masih menanti keputusan ujian forensik hospital untuk mengesahkan identiti mangsa yang ditemui sekitar 6 pagi tadi," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Mohd Sani berkata, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, operasi mencari seorang lagi mangsa masih diteruskan setakat ini, dengan bantuan unit anjing pengesan (K9) jabatan berkenaan.

Kebakaran pada 1.30 pagi tadi membabitkan sebanyak 31 bangunan di Sungai Lembing di sini, meliputi 20 buah premis kedai dua tingkat, 11 unit rumah setingkat dan sebuah perpustakaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Dua mangsa terperangkap dalam kebakaran 31 premis

Seorang mangsa kebakaran ditemukan rentung

Gerakan cari seorang lagi mangsa kebakaran diteruskan