Najib sebak kenang nasib sekolah tahfiz

Najib (tengah) dikerumuni orang ramai yang hadir pada Perhimpunan Penyatuan Ummah 2.0 di Pekan Rabu, Sungai Manik di Pasir Salak malam kelmarin. Foto Facebook Najib Razak
Najib (tengah) dikerumuni orang ramai yang hadir pada Perhimpunan Penyatuan Ummah 2.0 di Pekan Rabu, Sungai Manik di Pasir Salak malam kelmarin. Foto Facebook Najib Razak
A
A
A

PASIR SALAK - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebak mengenangkan hasrat mewujudkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara tidak kesampaian.

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) turut meluahkan rasa terkilan apabila menerima perkhabaran daripada ibu bapa dan mudir sekolah tahfiz bahawa mereka terpaksa menutup operasi kerana tidak lagi menerima bantuan.

"Saya telah gambarkan nak lahirkan seramai 125 hufaz profesional suatu hari nanti. Mereka ini anak-anak kita yang ada kebolehan luar biasa tetapi hasrat tersebut tidak kesampaian.

"Saya juga rasa macam nak menangis melihat ibu bapa dan mudir datang beritahu mereka mungkin terpaksa tutup sekolah tahfiz ini sebab tidak ada kemampuan lagi," katanya pada Majlis Himpunan Penyatuan Ummah 2.0 di Dataran Dewan Besar Pekan Rabu, Sungai Manik di sini malam semalam.

Najib berkata, beliau juga terkilan melihat ramai anak tahfiz terpaksa berhenti daripada pengajian mereka.

Beliau turut mengimbau kembali kenyataannya pada Perhimpunan Agung UMNO lima tahun lalu di mana beliau pernah berkata jika UMNO hilang kuasa, orang Melayu akan terbangsat di bumi sendiri.

"Orang Melayu akan melarat di bumi sendiri dan hari ini sudah ada tanda-tandanya.

"Islam tertekan, institusi lumpuh satu demi satu dan ini yang saya khuatir. Inilah sebab keperluan penyatuan ummah sebagai satu jalan keluar untuk selamatkan umat Islam dan orang Melayu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Lebih 30,000 orang hadir menyatakan sokongan pada Himpunan Penyatuan Ummah 2.0 yang berakhir dengan laungan merdeka dan nyanyian lagu Negaraku.